
BAU: Tiga lelaki tempatan ditahan polis selepas didapati positif dadah dalam satu operasi yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah Bau hari ini.
Ketua Polis Daerah Bau Mohd Haide A Rahman berkata tangkapan dibuat menerusi Op Tapis Khas Bil. 5/2026 di pejabat BSJND Bau kira-kira 11.05 pagi.
Beliau berkata hasil ujian saringan awal air kencing mendapati ketiga tiga suspek positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine.
Kesemua suspek berusia antara 24 hingga 34 tahun itu ditahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Suspek mengaku dalam percakapan awal bahawa mereka kali terakhir menagih dadah jenis syabu kira-kira dua hari sebelum ditangkap,” katanya.
Semakan juga mendapati dua daripada suspek mempunyai rekod lampau di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala seorang lagi tidak mempunyai rekod lampau.
Tiada dadah atau barang lain dirampas dalam operasi tersebut. Ketiga tiga suspek kini ditahan di lokap Balai Polis Bau untuk siasatan lanjut.
Oleh Connie Chieng