
SIBU: Tiga lelaki tempatan berusia antara 18 hingga 27 tahun ditahan dalam Op Samseng Jalanan yang dijalankan di sekitar Jalan Awang Ramli Amit dan Dataran Sibu, baru-baru ini.
Operasi yang berlangsung selama dua hari bermula 10.00 malam hingga 1.30 pagi itu dijalankan oleh sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu.
Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Zulkipli Suhaili berkata, siasatan dibuat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya.
“Sepanjang operasi, seramai 13 lelaki tempatan telah diperiksa dan tiga buah motosikal turut ditahan mengikut Seksyen 60 akta sama bagi tujuan dokumentasi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, sebanyak 23 keping saman turut dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik sepanjang dua hari operasi berkenaan.
“Antara kesalahan yang dikesan termasuk ubah suai struktur peralatan, ekzos bising, tiada cermin pandang belakang, brek rosak, tiada insurans, nombor pendaftaran tiada atau tidak ikut spesifikasi, Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh, tiada lesen memandu dan tidak mempamerkan pelekat ‘P’,” katanya.
Zulkipli turut menasihati orang awam supaya mematuhi undang-undang jalan raya.
“Ibu bapa juga disaran supaya memantau dan peka dengan aktiviti anak mereka agar tidak terlibat dalam kegiatan yang menyalahi undang-undang,” tegasnya.
Oleh Tarani Lanting