SHEILA ZAIDI
KUCHING: Sarawak merekodkan tiga kes baharu positif Covid-19 hasil penjejakan kontak di Daerah Kuching dan Samarahan semalam.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, dengan tiga kes baharu yang dicatatkan itu, jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 di Sarawak setakat ini adalah sebanyak 552 kes.
“Daripada tiga kes berkenaan, dua kes adalah dari Daerah Kuching manakala satu kes pula dari Samarahan.
“Ketiga-tiga kes ini adalah hasil usaha penjejakan kontak di Daerah Kuching dan Samarahan,” katanya kepada pemberita dalam satu sidang media harian perkembangan Covid-19 di Sarawak semalam.
Menurut Uggah, bagi kes positif di Daerah Samarahan adalah berkaitan dengan pelajar Kolej i-System yang positif dari Tanjung Manis.
Tambah Uggah, pelajar berkenaan sebelum balik ke Tanjung Manis, difahamkan telah melawat rumah kawannya di Samarahan.
Katanya lagi, daripada penjelasan kontak pelajar ini, 11 kontak rapat telah disaring sementara 14 lagi masih menunggu keputusan ujian makmal, manakala dua kes positif di Kuching, 25 kontak rapat telah disaring dan keputusan adalah negatif.
Justeru, ujarnya, semua pelajar yang pulang ke rumah masing-masing dan belum disaring dikehendaki melapor diri dengan Pejabat Residen Bahagian kerana mereka perlu menjalani saringan Covid-19.
Dalam perkembangan lain, Uggah memaklumkan bahawa, tiga kes baharu telah sembuh dan discaj dari hospital, dua daripadanya dari Hospital Bintulu dan satu dari Hospital Sibu.
“Setakat semalam, jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 yang telah sembuh dan discaj kekal sebanyak 476 orang atau 86.23 peratus.
“Sementara, seramai 219 orang disyaki (PUI) dilaporkan dan 187 kes masih menunggu keputusan ujian makmal,” jelasnya.
Kata Uggah, semalam, daerah Sibu telah bertukar status dari kuning kepada hijau manakala Samarahan bertukar hijau kepada kuning dengan satu kes positif Covid-19 dilaporkan di situ semalam.
Bagaimanapun, jumlah daerah berstatus kuning setakat semalam kekal lima iaitu Samarahan, Tanjung Manis, Bintulu, Serian dan Kuching dan daerah hijau pula berjumlah 35.
Mengenai orang dalam pemantauan (PUS) pula, seramai 57 PUS mendaftar masuk di hotel-hotel yang dijadikan pusat kuarantin menjadikan jumlah keseluruhan PUS di 38 hotel di seluruh negeri, 797 orang manakala 11,783 PUS telah tamat menjalani tempoh kuarantin masing-masing, kata Uggah.