CONNIE CHIENG
KUCHING: Polis telah menahan tiga suspek kerana melakukan pecah rumah dan mencuri serta melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Menurut Ketua Polis Daerah Kuching, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Awang Din Awang Gani, polis dari cawangan MPV Ibu Pejabat Polis (IPD) Kuching dan Balai Polis Sungai Maong telah menangkap tiga suspek pada awal pagi kelmarin (20 April) kira-kira jam 5 pagi setelah menerima maklumat bahawa suspek tersebut telah pecah rumah di Jalan Stutong Baru. Tangkapan dibuat setelah suspek cuba melarikan diri di tempat kejadian.
Terdahulu pada jam 2 pagi, polis telah menerima maklumat bahawa terdapat pencerobohan di kawasan perumahan tersebut dan membuat rondaan di kawasan persekitaran. Namun polis tidak terserempak dengan suspek berkenaan.
Pada jam kira-kira 4.20 pagi, polis sekali lagi menerima maklumat bahawa rumah berkenaan telah dipecah masuk dan apabila diperiksa dengan izin pemilik rumah, polis mendapati kesan pecah masuk dan keadaan rumah yang diceroboh dan suspek dipercayai telah melarikan diri.
Kira-kira setengah jam kemudian, polis menerima maklumat dari pemilik rumah bahawa suspek telah kembali ke tempat kejadian dan sepasukan polis telah mengepong kawasan rumah tersebut dan berjaya menangkap suspek yang cuba melarikan diri.
Pemilik rumah berada di Sri Aman semasa kejadian berlaku dan hanya mengetahui kejadian menerusi rakaman CCTV di telefon bimbitnya dan terus menghubungi jiran untuk memaklumkan kepada pihak polis dan menghubungi talian kecemasan 999.
Ketiga-tiga suspek lelaki yang ditangkap adalah berumur dalam linkungan 21 hingga 28 tahun. Semakan rekod lampau mendapati dua orang suspek tersebut pernah terlibat dalam kesalahan berkaitan, pencurian dan dadah.
Mereka akan direman untuk siasatan lanjut. Polis juga telah berjaya merampas beberapa barang yang hendak dicuri. Anggaran kerugian belum dipastikan lagi.
Siasatan dijalankan dibawah seksyen 457 Kanun Keseksaan dan Peraturan 11(1) PPPPB ( Langkah-langkah dalam kawasan tempatan jangkitan ) 2020.
Kes masih dalam siasatan.