
KUALA LUMPUR: Sorakan gemuruh, nyanyian beramai-ramai dan lautan cahaya lampu telefon bimbit memenuhi Unifi Arena, Bukit Jalil di sini malam tadi apabila ribuan peminat menghidupkan suasana sepanjang konsert ’Dewa 19-Cintaku Tertinggal di Malaysia’.
Lebih mengujakan, hampir setiap lagu yang dipersembahkan dinyanyikan bersama oleh penonton, membuktikan karya kumpulan rock legenda Indonesia itu terus dekat di hati peminat meskipun selepas lebih tiga dekad mewarnai industri muzik Nusantara.

Konsert anjuran Icon Entertainment yang berlangsung lebih tiga jam itu bukan sekadar persembahan muzik, malah menjadi medan mengimbau kenangan dan nostalgia buat peminat setia yang membesar dengan lagu-lagu Dewa 19.
Tirai konsert dibuka dengan persembahan bertenaga daripada kumpulan rock popular Indonesia Padi Reborn menerusi lagu-lagu hits seperti Menanti Sebuah Jawaban, Patah dan Hitam yang disambut meriah oleh penonton.

Suasana semakin memuncak apabila sorakan bergema di seluruh arena menjelang kemunculan Dewa 19 sekitar 9.50 malam, menandakan detik yang paling dinantikan peminat.
Dewa 19 yang mempertaruhkan 24 lagu popular termasuk Dewi, Sedang Ingin Bercinta, Risalah Hati dan Roman Picisan memukau penonton menerusi gandingan Ahmad Dhani, Virzha, Ello, Alass dan Javier Parisi.
Virzha yang tampil berkemeja hitam sempat menyapa peminat sebaik sahaja mengambil alih pentas.

“Kuala Lumpur! Are you okay tonight?” katanya ringkas, namun cukup untuk mencetuskan sorakan bergema sebelum meneruskan persembahan dengan lagu Perempuan.
Konsert itu turut menampilkan anak sulung Ahmad Dhani Al Ghazali yang mengendalikan dram bagi beberapa lagu termasuk Larut dan Satu.
Sepanjang persembahan, penonton yang kebanyakannya mengenakan pakaian berwarna hitam dilihat tenggelam dalam emosi setiap lagu yang dipersembahkan, malah ada yang tidak dapat menahan keterujaan apabila lagu kegemaran mereka dinyanyikan.
Kemuncak malam penuh nostalgia itu turut diserikan dengan pemberian cenderamata dan barangan eksklusif kepada peminat bertuah yang dilemparkan dari atas pentas oleh para artis.
Kejayaan menghimpunkan ribuan peminat pelbagai peringkat usia membuktikan Dewa 19 masih mempunyai pengaruh besar dalam dunia muzik serantau, sekali gus mengukuhkan status mereka sebagai antara kumpulan rock paling berpengaruh di Nusantara. – Bernama