KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih Kuala Lumpur City FC (KL City) Datuk Dollah Salleh menyifatkan krisis pemain yang melanda pasukannya sebagai pengalaman pertama sepanjang kariernya dalam bola sepak.
KL City memulakan aksi Liga Super 2026-2027 berdepan Kuching City FC di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras di sini malam tadi dengan hanya 10 pemain dan seorang pemain simpanan sebelum tewas 0-6.
Situasi itu berlaku susulan masalah pendaftaran pemain, selain keadaan kesihatan membabitkan 13 pemain dan dua pegawai pasukan yang dilaporkan dijangkiti influenza.
“Ini tidak pernah berlaku sepanjang hidup saya. Inilah kali pertama saya melalui situasi seperti ini. Sejak beberapa hari lepas, saya asyik memikirkan perkara ini hingga orang di sekeliling pun nampak saya tidak senang duduk.
“Keputusan ini sebenarnya sudah dijangka berdasarkan apa yang berlaku kepada KL City. Pada separuh masa pertama, kami bermain dengan 10 orang, tetapi pemain telah memberikan yang maksimum,” kata bekas pengendali skuad kebangsaan itu pada sidang media selepas perlawanan.


Menurut Dollah, walaupun kedua-dua pasukan beraksi 10 lawan 10 selepas kapten Kuching City, James Okwuosa dilayangkan kad merah pada minit ke-44, pemainnya sudah kepenatan pada babak kedua selepas bekerja keras sepanjang separuh masa pertama.
Beliau yang mempunyai pengalaman kejurulatihan kira-kira 23 tahun berkata ketiadaan pilihan di bangku simpanan memaksanya mengarahkan pasukan lebih banyak bertahan bagi mengelakkan kekalahan lebih besar.
“Saya kasihan kepada pemain kerana mereka sudah memberikan yang terbaik. Dalam keadaan sebegitu, saya tidak boleh terlalu menegur mereka. Kami hanya memberikan semangat supaya terus bertahan dan tidak dibolosi lebih banyak gol,” katanya.
Dollah berkata KL City terpaksa meneruskan perlawanan itu kerana kegagalan turun beraksi berkemungkinan membawa implikasi lebih besar termasuk risiko kedudukan kelab dalam Liga Super.


Mengikut Law of the Game 2026/27 yang ditetapkan Lembaga Persatuan Bolasepak Antarabangsa (IFAB) dan diguna pakai FIFA, sesebuah pasukan mesti mempunyai sekurang-kurangnya tujuh pemain atas padang untuk memulakan atau meneruskan perlawanan.
Dalam perkembangan berasingan, Dollah berkata beliau dimaklumkan bahawa sekatan perpindahan yang dikenakan terhadap KL City oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) telah ditarik balik, sekali gus membolehkan pasukan itu mendaftarkan pemain bagi menghadapi perlawanan seterusnya.
“Presiden (kelab) sendiri mengumumkannya dan kami sudah menerima pelepasan. Insya-Allah, perkara ini tidak lagi boleh dijadikan alasan pada perlawanan akan datang,” katanya yang mahukan pasukan bangkit pada aksi menentang PDRM FC di sini, Sabtu ini.
Terdahulu, aksi pembukaan KL City menentang Negeri Sembilan FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Sabtu lepas tidak dapat dilangsungkan selepas pasukan pelawat gagal menyediakan pasukan berikutan masalah pendaftaran pemain.
Justeru, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) memberikan kemenangan 3-0 dan tiga mata kepada Negeri Sembilan dan mendenda KL City RM50,000.- Bernama





