SIBU: Kerajaan Sarawak komited untuk menghubungkan semua kawasan pendalaman di negeri ini dengan jaringan jalan raya yang sempurna agar dapat dihubungkan dengan dunia luar.
Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, dengan adanya jaringan jalan raya yang menghubungkan semua kawasan pedalaman, sudah pastinya tidak ada lagi kawasan yang terpencil.
“Dari Sibu, Kapit, Belaga dan Bintulu, semuanya akan berhubung. Sudah tidak ada kawasan dalam Sarawak terpencil, semuanya berhubung.
“Sebab itu, saya datang sendiri ke sini bagi melihat sendiri pembangunan yang telah dilaksanakan ini,” katanya semasa berucap pada Majlis Bersama Rakyat di Dewan Serbaguna Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Ngungun, Kanowit semalam.
Terdahulu rombangan ekspedisi bermotosikal Abang Johari bersama kira-kira 80 motosikal berkuasa tinggi dari Sibu, selamat tiba di Nanga Ngungun sekitar 12.20 tengah hari, semalam.
Beliau turut diiringi oleh Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Datuk Amar Dr. James Jemut Masing, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Alexander Nanta Linggi, Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah dan Menteri Muda Pembangunan Infrastruktur dan Pelabuhan Datuk Julaihi Narawi.
Beliau berkata, laluan Sibu -Kapit sepanjang 110 kilometer itu akan memberi manfaat besar kepada penduduk di kawasan tengah, termasuk di Nanga Ngungun.
Bagaimanapun katanya, laluan penyambung antara Ngemah di Kanowit dan Temalat di Song yang merupakan ‘missing link’ Jalan Kapit-Sibu belum sepenuhnya dibuka kepada orang awam.
Namun, beliau telah menyarankan kepada Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Pembangunan Pelabuhan dan Infrastruktur Tan Sri James Masing dan pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) supaya membuka jalan ini untuk kegunaan orang ramai secara berjadual.
“Ini bermaksud, pada suatu masa iaitu pada waktu pagi ia dibuka untuk memudahkan orang turun kerja dan menutupnya bila ia tidak sibuk seperti waktu malam bagi membolehkan kerja-kerja penyiapannya dibuat.
“Saya mahu penutupan dan pembukaan jalan ini dibuat dengan teratur bagi memudahkan rakyat. Pilihlah masa yang teratur dan sesuai bagi manfaat orang ramai.
“Kalau tidak orang akan kata bila Abang Jo datang boleh buka, tapi bila Abang Jo tidak datang, ditutup,” katanya.
Sementara itu, Abang Johari turut meluluskan pembinaan sebuah dewan baharu di Skim Penempatan Semula Nanga Ngungun dan menyukat Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) kepada penduduk setempat agar diberikan hak pemilikan tanah.
Turut hadir Menteri Muda Menteri Muda Elektrik Luar Bandar Datuk Liwan Lagang, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Amar Jaul Samion dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ngemah Alexander Vincent.
Oleh Nurzilla Mohamad