KOTA BHARU: Jenazah Allahyarham Dr Ainul Baraah Kamarudin, 33, dijangka dibawa pulang ke Kelantan esok sekiranya proses pengesahan identiti selesai.
Suaminya, Muhammad Faiz Abdul Malik, 37, berkata pihak Kementerian Kesihatan bersama-sama agensi berkaitan kini berusaha mempercepat proses tersebut bagi kelima-lima mangsa yang terkorban.
“Sekiranya proses itu selesai, jenazah arwah isteri saya dijangka dibawa pulang ke Kelantan untuk urusan pengebumian esok,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata sampel asid deoksiribonukleik (DNA) kelima-lima mangsa, termasuk isterinya, akan dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia di Kuching untuk dianalisis bagi membantu proses pengecaman.
“Barangan peribadi milik arwah juga sudah diserahkan kepada pihak berkuasa semalam untuk proses pengecaman,” katanya.
Muhammad Faiz berkata beliau bersama-sama ibu dan bapa mentuanya kini berada di sebuah hotel di Miri sementara menunggu perkembangan daripada pihak hospital dan pihak berkuasa.
“Buat masa ini kami sekeluarga belum dibenarkan melihat jenazah arwah dan masih menunggu perkembangan terkini daripada pihak berkuasa. Mungkin petang ini kami akan dibawa ke hospital,” katanya.
Pada Rabu lepas, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dalam kenyataan memaklumkan sebuah helikopter BO-105 yang membawa lima individu termasuk juruterbang terhempas berhampiran Lapangan Terbang Landasan Pendek (STOLport) Long Lellang, Ulu Baram, kira-kira 929 kilometer dari Kuching.
Menurut kenyataan itu, helikopter berkenaan sedang menjalankan operasi perkhidmatan doktor udara (FDS) ketika kejadian.
Dalam pada itu, Residen Bahagian Miri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Miri Galong Luang mengesahkan kesemua lima individu di dalam helikopter itu meninggal dunia dalam kejadian pada kira-kira 3.40 petang.
Selain Dr Ainul Baraah, mangsa yang terkorban ialah juruterbang Kapten Zainol Afiq Bee Sham, 30, pembantu perubatan Alexson Adit Henry, 31, serta dua jururawat, iaitu Debra Moset, 40, dan Jessie Paya Jok, 44.- Bernama




