SIBU: Keprihatinan dan semangat kebersamaan masyarakat Sibu terserlah apabila pemimpin setempat tampil membantu mangsa serta petugas barisan hadapan susulan kebakaran besar yang memusnahkan 10 daripada 13 unit lot kedai bangunan tiga tingkat di Jalan Khoo Peng Loong di sini, hari ini.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Michael Tiang Ming Tee berkata, sebaik menerima berita kejadian itu, beliau bersama pasukannya segera ke lokasi bagi meninjau keadaan selain mengatur penyediaan bekalan air minuman, makanan dan barangan keperluan asas untuk membantu mangsa yang terjejas serta petugas barisan hadapan.
Katanya, selepas lebih enam jam kebakaran bermula, anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) masih bertungkus-lumus di lokasi bagi mengawal keadaan walaupun berdepan cuaca panas serta keadaan mencabar.

“Saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pengendali ‘Skylift’ yang tampil segera memberikan sokongan dengan menyediakan peralatan profesional bagi membantu JBPM dalam operasi pemadaman kebakaran.
“Kami turut menyediakan makanan dan air mineral kepada anggota bomba, polis serta petugas di lokasi sebagai sokongan kepada mereka yang terus menjalankan tugas yang mencabar,” katanya.
Tiang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelawan berkata, semangat perpaduan dan saling membantu yang ditunjukkan warga Sibu dalam menghadapi bencana tidak diduga itu amat menyentuh hati.

Menurutnya, ramai penduduk yang prihatin serta pemilik premis perniagaan di sini tampil menghulurkan bantuan dan berdiri bersama petugas barisan hadapan sepanjang tempoh operasi pemadaman kebakaran.
“Kebakaran mungkin memusnahkan harta benda, namun nilai keprihatinan dan kasih sayang mampu menyatukan masyarakat.
“Terima kasih kepada setiap anggota penyelamat, sukarelawan dan orang awam yang menyumbang bersama sama memberi bantuan dan sokongan,” katanya.

Sementara itu, ADUN Bawang Assan, Dato Sri Wong Soon Koh berkata, beliau bersama Ahli Majlis Perbandaran Sibu (MPS), kaunselor Sean Wong bergegas ke lokasi kebakaran petang tadi bagi meninjau sendiri keadaan.
Beliau berkata, melihat lapan rumah kedai musnah dijilat api dan hasil titik peluh para peniaga selama bertahun-tahun lenyap sekelip mata amat meruntun hati.
Katanya, sepanjang operasi pemadaman, beliau turut dimaklumkan mengenai masalah tekanan air yang rendah bagi operasi pemadaman dan perkara itu akan diberi perhatian.
“Saya akan menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan segera bagi menambah baik kemudahan serta sistem kebombaan agar operasi menyelamat pada masa hadapan dapat dijalankan dengan lebih berkesan,” katanya.
Wong berkata, pihaknya akan berusaha menyelaras dengan agensi berkaitan bagi membantu proses pemulihan dan pembukaan semula perniagaan yang terjejas.
“Api mungkin memusnahkan bangunan, namun ia tidak akan memusnahkan semangat perpaduan kita,” katanya.
Beliau turut mengagihkan minuman kepada anggota JBPM yang bertugas di lokasi sebagai tanda penghargaan atas pengorbanan dan dedikasi mereka.
“Kepada semua peniaga yang terjejas, teruslah tabah dan kuat menghadapi dugaan ini. Kami sentiasa bersama anda dan akan berganding bahu untuk mengharungi saat sukar ini,” katanya.
Oleh Akun Giman



