PAKAN: Tiada undang-undang yang memperuntukkan pengambilan atau penggunaan harta seperti tanah dengan paksa tanpa pampasan yang mencukupi, kata Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
Timbalan Premier Sarawak itu berkata kerajaan Sarawak tidak akan mengambil tanah rakyat yang terlibat dengan projek kerajaan secara percuma sebaliknya diambil berdasarkan kepada peruntukan sedia ada dalam Kanun Tanah Negeri (KTN) Bab 81 dan Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan.
“Dalam KTN Bab 81 dan Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan iaitu antara lainnya menyebut tiada seorang pun boleh dilucutkan hartanya kecuali mengikut undang-undang.
“Semua tanah yang diambil balik akan dibayar pampasan berdasarkan penilaian dari Jabatan Tanah dan Survei Sarawak.
“Pampasan ini akan dinilai sewajarnya berdasarkan tanaman yang ada, struktur binaan jika ada dan saiz tanah yang terlibat mengikut nilai semasa,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh pada majlis penyerahan surat hak milik tanah Seksyen 18 KTN bagi kawasan Jalan Pakan/Sesco/Entabai dan cek pampasan tanah bagi projek membina dan menyiapkan Jalan Ulu Paku-Ulu Kota Link dan naik taraf Jalan Ulu Paku Sarikei bertempat di Dewan Masyarakat Pakan, hari ini.
Sebanyak 60 cek pampasan tanah berjumlah keseluruhan RM1.6 juta diserahkan kepada 46 orang pemilik tanah, hari ini.
Ia adalah bagi projek membina Jalan Ulu Paku-Ulu Kota Pakan dan menaik taraf Jalan Ulu Paku Sarikei melibatkan kawasan seluas 23 hektar serta telah diluluskan oleh SPA pada 13 Mei 2023 melibatkan jalan sepanjang tiga kilometer (km).
Di samping itu, turut diserahkan adalah surat hak milik tanah Seksyen 18 KTN yang diserahkan pada hari ini iaitu sebanyak 100 surat hak milik tanah kepada 77 orang penerima yang melibatkan kawasan Jalan Pakan Sesco dan Pakan Entabai.
Awang Tengah yang juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar II, berkata, setakat 31 Ogos 2024, sebanyak 87,465 lot individu telah berjaya diukur melibatkan kawasan seluas 108,381 hektar.
“Sebanyak 31,257 lot telah dikeluarkan surat hak milik tanah di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri yang berkeluasan 45,376 hektar.
“Ini termasuk Surat Hak milik Tanah Seksyen 18 KTN yang diserahkan pada hari ini iaitu sebanyak 100 surat hak milik tanah kepada 77 orang penerima yang melibatkan kawasan Jalan Pakan Sesco dan Pakan Entabai,” katanya.
Awang Tengah berkata kerajaan Sarawak berusaha untuk terus memperkasakan pembangunan di kawasan luar bandar bagi menyediakan kemudahan infrastruktur dan utiliti serta meningkatkan kegiatan ekonomi penduduk.
Turut hadir ialah Penasihat di Pejabat Premier Sarawak (Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah) yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakan, Tan Sri William Mawan Ikom dan Penguasa Tanah dan Survei Bahagian Sarikei, Thian Choon Kui.
Oleh Earl Anek