LIMBANG: Pihak pengurusan sekolah dan ibu bapa memainkan peranan penting dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan pelajar di sekolah diutamakan.
Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah berkata kerjasama kukuh antara kedua-dua pihak menjadi elemen penting bagi menangani sebarang perbuatan dan masalah disiplin dalam kalangan pelajar, termasuk kes buli.
“Pihak sekolah dan ibu bapa perlu memperkukuh kerjasama bagi menangani sebarang perlakuan tidak betul di sekolah.
“Sebarang aduan awal hendaklah disiasat dan masalah ini perlu diatasi bagi mengelakkannya terus menular,” katanya.
Ahli Parlimen Limbang itu berkata demikian ketika merasmikan Fun Run, Konvoi Motosikal dan Karnival Pendidikan ALIM Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Limbang 2026 hari ini.
Beliau menjelaskan bahawa pihak sekolah dan ibu bapa perlu bekerjasama menyediakan mekanisme terbaik, termasuk menyiasat sebarang aduan awal yang diterima.
Katanya, ibu bapa perlu memantau perkembangan anak-anak bagi mengelakkan mereka terlibat dalam sebarang masalah disiplin di sekolah.
Katanya, golongan pelajar adalah penerus masa depan negara, namun pada era digital, golongan ini dilihat begitu ketagih menggunakan gajet, terutama telefon pintar.
Jelasnya, meskipun penggunaan gajet seperti telefon pintar, tablet dan komputer kini sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan seharian anak muda, penggunaan berlebihan dan tidak terkawal boleh membawa kepada ketagihan.
Turut sama ialah Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Limbang, Ustaz Ahmad Rambli dan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Agama Limbang Yusoff Piee.
Oleh Adeng Edrus



