KUCHING: Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sarawak akan memperhebat tindakan terhadap kegiatan jenayah terancang, sindiket dan keganasan termasuk menggunakan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) sekiranya mempunyai bukti mencukupi.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohd Zainal Abdullah berkata, pihaknya tidak akan bertoleransi terhadap kegiatan berkenaan, malah kumpulan yang disyaki terlibat dalam pengedaran dadah turut berada dalam radar PDRM.
“Tidak ada toleransi terhadap jenayah sindiket dan keganasan. Aktiviti dadah juga kita akan ambil tindakan di bawah SOSMA kerana kegiatan dadah turut termasuk dalam kesalahan serius yang membolehkan tindakan berkenaan diambil,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyaksikan majlis Serah Terima Tugas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sarawak antara ACP Mohd Ishak Yaakob dan SAC Kumarasan Muniandy di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, di sini, hari ini.
Dalam majlis berkenaan, Mohd Ishak secara rasmi menyerahkan tanggungjawab Ketua JSJ Sarawak kepada Kumarasan dengan disaksikan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohd Zainal Abdullah.
Kumarasan sebelum ini berkhidmat sebagai Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri sebelum diberi tanggungjawab menerajui JSJ Sarawak.
Zainal berkata, PDRM sebelum ini berjaya mengambil tindakan di bawah SOSMA terhadap satu kumpulan jenayah sindiket, dengan kes berkenaan kini masih menunggu perbicaraan.

Menurutnya, masih terdapat kumpulan lain dalam radar PDRM, namun jumlah dan identiti mereka tidak boleh didedahkan. Tindakan akan diambil sekiranya siasatan memperoleh bukti serta elemen yang mencukupi.
Dalam pada itu, beliau turut memberi cabaran kepada Kumarasan yang baharu menerajui JSJ Sarawak supaya memperhebat tindakan terhadap pelaku jenayah agresif di negeri ini.
“Saya yakin dengan pengalaman dan pengetahuan beliau akan dapat memimpin JSJ Sarawak ke arah yang lebih baik. Tanggungjawab JSJ ini berat, jadi tindakan pencegahan dan tindakan tegas perlu diambil terhadap kesalahan jenayah berat,” katanya.
Ditanya sama ada tindakan seterusnya akan melibatkan operasi khas seperti Ops Cantas, Zainal berkata, langkah yang bakal dilaksanakan mungkin lebih daripada itu dengan semua jabatan dalam kontinjen Sarawak akan bekerjasama mengambil tindakan lebih agresif.
Oleh Norman B




