Tiada perubahan bilangan bahagian pilihan raya Persekutuan Sarawak – SPR

Facebook
WhatsApp
SPR. Foto hiasan

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini mengemukakan lima syor termasuk tiada perubahan terhadap bilangan bahagian-bahagian pilihan raya Persekutuan bagi Negeri Sarawak, kata Setiausaha SPR Datuk Khairul Shahril Idrus.

Beliau berkata bagaimanapun, terdapat bahagian-bahagian pilihan raya Persekutuan yang terlibat dalam semakan semula dan tersentuh oleh syor yang dicadangkan.

Khairul Shahril berkata jumlah bahagian-bahagian pilihan raya negeri bagi Sarawak dicadang ditambah sebanyak 17 bahagian, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 99.

“Bagi maksud kajian semula persempadanan bahagian-bahagian pilihan raya ini, terdapat pindaan dibuat kepada nama bahagian-bahagian pilihan raya Persekutuan yang melibatkan satu bahagian pilihan raya Persekutuan dalam Negeri Sarawak.

“Terdapat juga pindaan dibuat kepada nama bahagian-bahagian pilihan raya negeri yang melibatkan sepuluh bahagian-bahagian pilihan raya negeri dalam Sarawak,” menurutnya dalam kenyataan hari ini. 

Terdahulu, SPR mula mempamerkan notis cadangan bagi menambah kawasan pilihan raya baharu dan pertukaran nama kawasan pilihan raya di Sarawak.

Khairul Shahril berkata notis berhubung Kajian Semula Persempadanan Bahagian-Bahagian Pilihan Raya Persekutuan dan Negeri Dalam Negeri Sarawak disiarkan dalam warta hari ini.

Beliau berkata SPR mempamerkan Syor Kajian Semula Persempadanan itu selama sebulan bermula 1 hingga 30 September 2026 di tempat-tempat yang dinyatakan dalam notis persempadanan untuk tujuan semakan dan bantahan.

“Butiran syor yang dicadangkan dinyatakan dalam notis yang disiarkan melalui warta serta akhbar Utusan Borneo dan The Borneo Post,” katanya.

Mengulas lanjut, Khairul Shahril berkata satu salinan syor berkenaan berserta Rang Pelan Bahagian-Bahagian Pilihan Raya Persekutuan dan Negeri dalam Negeri Sarawak turut dipamerkan untuk pemeriksaan orang ramai pada waktu pejabat hari bekerja di beberapa lokasi seperti dinyatakan dalam notis. 

Syor berkenaan juga boleh didapati melalui pautan https://myst.spr.gov.my/.

Beliau berkata representasi mengenai syor yang dicadangkan boleh dibuat kepada SPR dalam tempoh sebulan selepas tarikh penyiaran notis berkenaan.

Khairul Shahril juga berkata siasatan tempatan akan diadakan bagi representasi membantah syor daripada kerajaan negeri, mana-mana pihak berkuasa tempatan yang keseluruhan atau sebahagian kawasannya termasuk dalam bahagian-bahagian pilihan raya yang tersentuh oleh syor itu atau sekumpulan 100 orang atau lebih yang nama mereka ditunjukkan dalam daftar pemilih semasa bagi bahagian-bahagian pilihan raya berkenaan.

“Apa-apa representasi membantah syor yang dicadangkan hendaklah dikemukakan secara bertulis kepada SPR dan dihantar secara dalam talian melalui pautan https://myst.spr.gov.my/ atau dialamatkan kepada Pegawai Pilihan Raya Negeri Sarawak,” katanya.

Beliau berkata kajian semula itu dilaksana berlandaskan peruntukan Fasal (2) Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan dengan mengambil kira Ordinan Dewan Undangan Negeri (Komposisi Keanggotaan) 2025 yang berkuat kuasa pada 8 Ogos 2025.

Khairul Shahril berkata SPR hendaklah menyiapkan kajian semula persempadanan itu dalam tempoh yang tidak melebihi dua tahun dari tarikh notis berkenaan diwartakan. – Bernama

Batik Air tawar diskaun tambang Merdeka

KUALA LUMPUR: Batik Air menawarkan diskaun tambang Merdeka istimewa dan faedah runcit eksklusif kepada penumpang di Lapangan Terbang Sultan Abdul