SUBANG: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan memperkenalkan program pembangunan kemahiran untuk pelajar perempuan pada tahun hadapan bagi membantu mereka mengenal pasti laluan kerjaya serta membangunkan kemahiran yang mempunyai nilai pasaran.
Menterinya Datuk Seri Nancy Shukri berkata kementerian sedang bekerjasama dengan Jabatan Pendidikan bagi menentukan kesesuaian masa, dan pendekatan pelaksanaan program berkenaan, yang akan memberikan pendedahan kemahiran praktikal serta peluang mengikut keperluan pasaran dan industri semasa.
“Inisiatif itu bukan sekadar memberikan pendedahan akademik, sebaliknya membolehkan pelajar (sekolah) memahami kemahiran dan pilihan kerjaya, sekali gus membantu mereka membuat keputusan yang lebih tepat mengenai masa depan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan program Future-Ready Women: Leading Malaysia Through Transformation di CelcomDigi Hub di sini hari ini.
Nancy berkata KPWKM mengenal pasti beberapa produk dan kemahiran yang mempunyai potensi pasaran untuk diperkenalkan menerusi program itu bagi membantu peserta menjadikan kemahiran yang diperoleh sebagai peluang ekonomi pada masa depan
“Banyak produk yang terdapat dalam pasaran hari ini. Kami mahu golongan muda mempelajari kemahiran yang relevan supaya akhirnya mereka dapat menjana pendapatan daripada apa yang telah dipelajari,” katanya.
Program perintis di Santubong akan menjadi titik permulaan kepada usaha kementerian yang lebih menyeluruh untuk melengkapkan pelajar dengan kemahiran praktikal yang relevan ketika masih di bangku sekolah.
Terdahulu, ketika berucap pada majlis itu, Nancy berkata usaha memperkasakan wanita perlu dimulakan sejak peringkat awal, khususnya dengan memastikan pelajar perempuan mempunyai peluang meneroka teknologi, membina kemahiran digital serta mengenal pasti potensi mereka sebagai pemimpin masa depan.
Beliau berkata wanita perlu dilengkapi dengan kemahiran untuk mengambil bahagian secara aktif dalam ekonomi yang semakin dipengaruhi oleh kecerdasan buatan, pendigitalan dan keterhubungan.
“ … wanita tidak boleh sekadar menjadi pengguna teknologi. Mereka juga perlu menjadi pencipta, inovator dan pembuat keputusan.
“Dengan memupuk sifat ingin tahu, kreativiti dan keupayaan menyesuaikan diri, kita dapat mempersiapkan mereka untuk menyumbang kepada ekonomi digital Malaysia, serta memainkan peranan sebagai pemimpin,” katanya.
Nancy berkata pemberian pendedahan sedemikian pada pelbagai peringkat kehidupan akan membantu memastikan wanita lebih bersedia untuk menghadapi perubahan dalam ekonomi dan tenaga kerja.
Program bersempena dengan sambutan Hari Wanita Kebangsaan 2026 itu menghimpunkan lebih 200 pemimpin serta wakil daripada sektor kerajaan, industri dan korporat, bagi membincangkan kaedah melengkapkan wanita dengan kemahiran yang diperlukan untuk mendepani perubahan pantas landskap ekonomi. – Bernama





