LINGGA: Program Juara Digital Sarawak yang dianjurkan di beberapa Pusat Internet terpilih di Lingga berjaya menarik penyertaan antara 60 hingga lebih 200 peserta sepanjang tempoh pelaksanaannya dari Mei hingga September 2026.
Menurut tenaga pengajarnya, Rokiah Banseng berkata inisiatif berkenaan memberi peluang kepada komuniti setempat untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran dalam penggunaan teknologi serta platform digital.
Katanya, sambutan menggalakkan daripada komuniti tempatan sepanjang program berlangsung membuktikan keperluan terhadap usaha memperkukuh literasi digital dalam kalangan masyarakat, khususnya di kawasan luar bandar.
“Program Juara Digital Sarawak yang dianjurkan di beberapa Pusat Internet terpilih di Lingga berjaya menghimpunkan antara 60 hingga lebih 200 peserta sepanjang pelaksanaannya bermula Mei hingga September 2026,” katanya.
Rokiah berkata, usaha memperluaskan kemahiran digital kepada masyarakat perlu diteruskan bagi memastikan semua lapisan komuniti mampu mengikuti perkembangan teknologi yang semakin pesat.
Beliau berharap program seumpama itu dapat membantu mengurangkan jurang digital serta memastikan tiada individu yang tercicir daripada arus transformasi digital.
“Saya berharap selepas ini tiada lagi orang yang ketinggalan dalam dunia digital,” katanya.
Sementara itu, Bengkel Digital Kamek Siri 5 dan Siri 6 yang berlangsung di Lingga pada Ahad lalu turut memberi penekanan kepada kemahiran mengambil gambar menggunakan telefon pintar, penyuntingan foto serta penggunaan pelbagai platform digital.
Program berkenaan dianjurkan oleh Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC) dengan kerjasama Angkatan Zaman Mansang (AZAM) Sarawak sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh tahap literasi dan kemahiran digital dalam kalangan masyarakat.
Rokiah turut merakamkan penghargaan kepada semua peserta yang menyertai bengkel berkenaan, sambil berharap ilmu dan kemahiran yang diperoleh dapat dimanfaatkan dalam kehidupan seharian.
Program berkenaan membuktikan usaha berterusan untuk memperluaskan akses kepada pengetahuan dan kemahiran digital, khususnya dalam kalangan komuniti di kawasan pesisir dan luar bandar.
Oleh Adi Safarman




