SIDANG MEDIA… Dato Sri Fatimah Abdullah ketika sidang media selepas menyerahkan Surat Keputusan Permohonan Kewarganegaraan Perkara 15A Perlembagaan Persekutan kepada Mohammad Aidill. Turut kelihatan ialah Mohammad Aidill Maula Hamdan (kiri) dan Halimah Buang (kanan).
SIBU: Tiada lagi dilayan seperti rakyat asing. Tiada lagi bebanan terpaksa membayar yuran pendidikan dan peperiksaan yang begitu tinggi kerana bukan warganegara.
Itulah perkhabaran paling gembira buat anak nelayan, Mohammad Aidill Maula Hamdan, 19, apabila menerima surat keputusan permohonan kewarganegara di bawah Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah menyerahkan surat itu kepada pelajar pintar ini dalam satu majlis ringkas di Pejabat Kebajikan Bahagian Sibu, Kompleks Islam Sibu di sini, semalam.
Mohammad Aidill lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) keputusan Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.59, menceritakan bebanan yang terpaksa ditanggung berikutan belum menerima taraf kerakyatan selama ini.
Dia pada mulanya murid di Sekolah Kebangsaan (SK) Sibu Jaya sebelum ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sibu Jaya sehingga Tingkatan Tiga, kemudian berpindah ke SMK Matu hingga Tingkatan Lima dan Tingkatan Enam ke SMK Toh Puan Datuk Patinggi Hajjah Normah Daro (SMK TPDPH Normah).
“Pengalaman saya sebagai seorang pelajar ketika itu ialah menanggung kos yuran yang mahal kerana bukan warganegara.
“Yuran peperiksaan STPM ialah RM237 untuk setiap semester dengan kesemuanya ada tiga semester. Untuk Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) saya ambil sembilan subjek dengan yuran RM245.
“Bagi yuran tahunan sekolah rendah adalah RM120 dan yuran tahunan sekolah menengah pula RM240 ,” katanya.
Ketika di sekolah, dia turut menyertai kokurikulum untuk unit beruniform kadet polis dan Persatuan Bahasa Melayu.
Mengenai perancangan masa depan setelah mendapat kerakyatan, Mohammad Aidill berkata, dia mahu melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.
“Semasa kecil, saya bercita-cita ingin menjadi polis dan kini ingin menjadi guru,” katanya sambil tersenyum.
Untuk STPM, Mohammad Aidill mengambil empat mata pelajaran iaitu Perniagaan A-, Geografi A-, Bahasa Melayu A- dan Pengajian Am B+.
Dia juga sudah mendapat tawaran melanjutkan pelajaran ke Universiti Teknologi Sarawak (UTS) dengan pengurangan 80 peratus yuran pengajian, selain boleh memohon biasiswa Yayasan Sarawak.
Di samping itu, dia juga ada memohon untuk melanjutkan pengajian di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Tanjung Malim di Perak.
Mohammad Aidill kini hanya menunggu proses seterusnya untuk mendapat sijil dan kemudian memohon MyKad.
Sementara itu, bapa Mohammad Aidill, Hamdan Mohamad merupakan seorang pesara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan kini bekerja sebagai seorang nelayan di Matu.
Hamdan yang diselubungi perasaan gembira mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Sarawak, Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti dan Jabatan Pendaftaran Malaysia (JPN).
“Kami sekeluarga berterima kasih kepada kerajaan kerana telah membantu,” katanya ringkas tetapi dengan penuh kesyukuran.
Ibu Mohammad Aidill, Halimah Buang (suri rumah) memberitahu bahawa anaknya (Mohammad Aidill) merupakan anak sulung daripada tujuh adik beradik.
“Saya tegas dalam aspek pendidikan mereka semua, ini penting demi masa depan mereka,” katanya sambil berterima kasih kepada kerajaan.
Turut hadir, Naib Canselor UTS, Profesor Datuk Dr Khairuddin Abdul Hamid.
Oleh AKUN GIMAN