
KUCHING: Tiada cuti khas akan diberikan sekiranya Kuching FC menjuarai Piala Malaysia, kata Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Beliau berkata, pemberian cuti melibatkan implikasi ekonomi termasuk keperluan bayaran berganda kepada pekerja mengikut ordinan buruh, sekali gus memberi kesan kepada produktiviti.
“Kalau saya cakap ini nanti orang tak suka saya. Cuti ini bayaran berganda, di bawah ordinan buruh perlu bayar dua kali ganda. Ada yang suka cuti, ada yang tidak, jadi ekonomi kita berkuranglah. Main bola, menang, menanglah,” katanya pada sidang media selepas Konvensyen GPS di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), hari ini.
Dalam pada itu, beliau menegaskan kejayaan Kuching FC mara ke pentas akhir Piala Malaysia adalah hasil sokongan berterusan kerajaan Sarawak dalam membangunkan bola sepak negeri.
Menurutnya, sebelum ini kancah bola sepak Sarawak berdepan pelbagai masalah, justeru penubuhan Kuching FC dilakukan bagi menghidupkan semula saingan di peringkat tempatan.
“Pasukan bola sepak kita ada masalah sebelum ini. Sebab itulah saya menubuhkan Kuching FC untuk mengadakan perlawanan sesama kelab tempatan sahaja.
“Alhamdulillah malam tadi kita masuk final dan kita bantu penubuhan kelab ini dengan apa yang kita boleh bantu,” ujarnya.

Beliau berkata, antara sokongan diberikan termasuk penyediaan kemudahan latihan di Persatuan Bola Sepak Bahagian Kuching (KDFA) serta bantuan kewangan bagi memastikan kebajikan pemain terjamin.
“Kita ada buat tempat latihan di KDFA untuk latihan dan kita juga bantu dari segi kewangan. Kalau pemain tidak dibayar gaji, siapa mahu main?” katanya.
Mengulas perlawanan separuh akhir menentang Selangor, beliau mengakui berdebar terutama pada minit-minit akhir permainan.
“Macam malam tadi saya berdebar, sebab di Selangor ada gol saat akhir. Malam tadi masa tambahan enam minit pun saya risau,” katanya.
Sementara itu, beliau juga menyatakan bahawa tiada perbincangan pengurangan harga tiket untuk penyokong Kuching City FC untuk ke final Piala Malaysia di Bukit Jalil.
Oleh Shahrul Qaizat