Virgil van Dijk meraikan jaringan kemenangan Liverpool ke atas Everton dalam aksi derbi Merseyside. - Foto AFP.
LONDON: Liverpool meraih kemenangan dramatik 2-1 ke atas seteru setempat Everton menerusi jaringan saat akhir Virgil van Dijk sekali gus mengukuhkan kedudukan dalam kelompok lima terbaik Liga Perdana Inggeris.
Pada hari penuh dramatik dalam saingan liga, keputusan itu hadir menjelang pertembungan tumpuan antara Manchester City dan Arsenal yang boleh menentukan hala tuju perebutan kejuaraan.
Liverpool yang kini di tangga kelima berjaya melebarkan jurang kepada tujuh mata di hadapan Chelsea di tempat keenam selepas menang di stadium baharu Everton, Hill Dickinson Stadium.
Kapten Liverpool, Van Dijk muncul wira apabila menanduk masuk sepakan penjuru Dominik Szoboszlai pada minit ke-100, menewaskan penjaga gol Jordan Pickford.
“Perlawanan ini sangat besar buat kami dalam usaha memburu slot Liga Juara-Juara. Ia bukan tahap sebenar Liverpool, tetapi kemenangan ini amat penting,” kata Van Dijk.
Terdahulu. Mohamed Salah membuka tirai jaringan pada separuh masa pertama hasil lorongan menarik Cody Gakpo.
Gol itu hadir hanya dua minit selepas jaringan Everton dibatalkan VAR susulan Jake O’Brien berada dalam kedudukan ofsaid.
Salah yang bakal meninggalkan kelab hujung musim ini turut menyamai rekod legenda Steven Gerrard dengan sembilan gol dalam aksi derbi Merseyside.
Bagaimanapun, Everton bangkit menyamakan kedudukan menerusi Beto dalam tempoh 10 minit selepas babak kedua bermula hasil gerakan Kiernan Dewsbury-Hall.
Perlawanan dilihat berakhir seri sebelum pengadil memberikan 11 minit masa kecederaan dan Van Dijk memastikan kemenangan dramatik buat skuad kendalian Arne Slot
Villa bangkit, Forest lega
Dalam aksi lain, Aston Villa mencatat kemenangan dramatik 4-3 ke atas Sunderland.
Ollie Watkins meledak dua gol awal sebelum disamakan, namun jaringan Tommy Abraham pada masa kecederaan memastikan tiga mata buat pasukan kendalian Unai Emery.
Kapten Villa, John McGinn menyifatkan pasukannya berada di landasan terbaik untuk menamatkan musim dalam kelompok lima terbaik selain mara jauh di pentas Eropah.
Sementara itu, Nottingham Forest menghidupkan peluang kekal dalam liga selepas bangkit menewaskan Burnley 4-1.
Morgan Gibbs-White mencuri tumpuan dengan hatrik untuk membantu Forest menjauhkan diri daripada zon penyingkiran, kini lima mata di depan Tottenham Hotspur. – AFP