
SARATOK: Tiada campur tangan politik dalam pelantikan tuai rumah dan ketua kaum di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Krian.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Krian, Friday Belik berkata pemilihan tuai rumah atau ketua kaum adalah berdasarkan keputusan penduduk rumah panjang itu sendiri melalui proses undian dan bukan ditentukan oleh mana-mana ahli politik seperti yang didakwa sesetengah pihak.

Beliau menekankan bahawa hak untuk memilih pemimpin sesebuah rumah panjang harus sepenuhnya diserahkan kepada penduduk di kawasan terlibat tanpa gangguan daripada pihak luar.
“Saya ingin menegaskan bahawa tiada campur tangan mana-mana ahli politik atau individu lain dapam pelantikan tuai rumah atau ketua kaum di kawasan DUN Krian.
“Penduduk rumah panjang dan kampung berhak memilih pemimpin mereka sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap semasa majlis penyampaian sijil pelantikan ketua kaum bagi kawasan DUN Krian di Dewan Pejabat Daerah Saratok, hari ini.


Seramai 61 tuai rumah menerima sijil lantikan masing-masing dibawah pentadbiran Pejabat Daerah Saratok, Pejabat Daerah Kecil Nanga Budu dan Pejabat Daerah Kecil Roban.
Daripada jumlah itu, seramai 54 orang penerima sijil lanjutan dan tujuh orang penerima sijil lantikan baharu.
Mengulas lanjut, Friday mahu semua tuai rumah harus faham dan mempunyai daya kepimpinan yang baik demi kepentingan masyarakat dibawah jagaanya. Mereka mestilah komited, berintegriti, berdisiplin dan berwawasan.
Beliau menekankan betapa pentingnya kerjasama dan hubungan yang baik diantara tuai rumah dengan wakil rakyat tempatan untuk memastikan usaha dan inisiattif pembangunan kerajaan masa kini dapat dilaksanakan dengan berkesan.
“Sememangnya kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) sudahpun mula memperkasakan jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung (JKKK) dan pemimpin akar umbi untuk turut terlibat sama dalam merencana dan melaksanakan projek-projek di peringkat kampung atau rumah panjang.
“Tuai rumah ibarat mata dan telinga kerajaan selain menjadi jambatan diantara masyarakat dengan kerajaan. Oleh itu tuai rumah harus menyokong dasar dan inisiatif pembangunan yang dibawa oleh kerajaan,” katanya.
Turut hadir, Pegawai Daerah Saratok, Mohammad Dino Amid; wakil Residen Bahagian Betong, Althrina Marla; Pegawai Tadbir Menguasa Pejabat Daerah Kecil Nanga Budu, Hatta Adenan; Pegawai Tadbir Menguasa Pejabat Daerah Kecil Roban, Steve Miller dan ketua masyarakat dan ketua kaum (KMKK).
Oleh Adi Saparman