Lawas sasar jadi ‘mini Dubai’ di Teluk Brunei menjelang 2050

Facebook
WhatsApp
ABANG Johari bersama Awang Tengah dan kenamaan lain pada majlis perasmian Bangunan Pusat Pentadbiran Kerajaan Sarawak Lawas.

LAWAS, 18 November: Lawas berpotensi muncul sebagai hab pelancongan dan ekonomi bertaraf antarabangsa di utara Sarawak menerusi perancangan pembangunan jangka panjang menjelang 2050.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pembangunan kawasan Teluk Brunei akan memberi tumpuan kepada sektor pelancongan, termasuk penyediaan kemudahan sukan air dan sukan perahu layar.

Menurut beliau, perancangan itu turut membuka peluang kepada pelabur luar untuk membangunkan kemudahan pelancongan seperti padang golf dan hotel di sekitar kawasan berkenaan.

Inisiatif tersebut dijangka mampu menarik lebih ramai pelancong ke Lawas, sekali gus merancakkan kegiatan ekonomi dan meningkatkan daya tarikan daerah itu sebagai destinasi pelancongan serantau.

Beliau yakin perancangan berkenaan mampu menjadikan Lawas sebagai ‘mini Dubai’ atau mutiara yang bersinar di Teluk Brunei.

Dalam perkembangan berkaitan, Abang Johari turut menzahirkan penghargaan kepada Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah atas peranan baginda dalam mempermudah perbincangan dua hala antara Malaysia dengan Brunei Darussalam.

Katanya, perbincangan yang merangkumi aspek perdagangan, pelancongan, kebudayaan dan pengurusan sempadan itu berjaya dilaksanakan dalam semangat kekeluargaan.

Beliau berkata, hubungan baik antara Sarawak dengan Brunei turut mendapat reaksi positif daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Moga Brunei dan Sarawak, khususnya kawasan sekitar sempadan termasuk Miri, Limbang dan Lawas, dapat kita majukan,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Bangunan Pusat Pentadbiran Kerajaan Sarawak Lawas di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan; Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki serta kenamaan lain.