KUALA LUMPUR: Status ‘Thalapathy’ Vijay sebagai ‘the Greatest of All Time’ (GOAT) terus mantap dengan keluaran filem terbaharunya bertajuk “GOAT,” yang ditayangkan di seluruh dunia pada 5 September lepas.
‘Blockbuster’ Kollywood itu yang meraih anggaran RM2.4 juta dalam jualan tiket pendahuluan di Malaysia sebelum ditayangkan, menyerlahkan populariti Vijay serta pengaruhnya dalam industri filem.
Pengasas Veedu Production, salah satu pengedar filem itu di Malaysia, R Denes Kumar, berkata, filem itu yang ditayangkan di 160 panggung wayang di seluruh negara, mencatat jualan terbanyak untuk filem Vijay setakat ini di negara ini.
“Jangka yang tidak dijangkakan daripada filem ini kerana anda tidak akan dapat meramalkan apa yang berlaku berikutnya. Penampilan istimewa pelbagai artis menjadikan filem ini lagi hebat, ” beliau memberitahu Bernama selepas menghadiri tayangan gala filem berkenaan di LaLaport Bukit Bintang City Centre pada 5 September lepas.
Turut menyaksikan tayangan gala itu ialah Timbalan Presiden MIC Datuk Seri M Saravanan, selebriti-selebriti tempatan, pempengaruh media sosial dan wakil dari Varnam Malaysia, platform digital yang mengambil inisiatif mempromosikan yang terbaik dalam masyarakat India Malaysia.
Para peminat yang menghadiri tayangan gala itu ternyata begitu teruja dan berasa nostalgia ketika mereka berjalan melalui sebuah terowong yang dibina khas, meraikan legasi Thalapathy Vijay.
Pengarah GOAT Venkat Prabhu berkata, “GOAT” berkisar mengenai pasukan ejen pengintipan dari SATS (Pasukan Petugas Tindakan Khas) India yang memerangi sebuah kumpulan mafia. Vijay yang melakonkan dua watak iaitu sebagai seorang bapa dan seorang anak yang kejam, begitu menyerlah lakonannya.
Pelakon lain termasuk aktor Tamil Prashanth dan Prabhu Deva, aktres Tamil Sneha dan Laila, di samping aktor Malaysia Muhammad Irfan Mohamed Zaini.
Pengurus Besar Five Star Trading (FST), Dr Sai Suthan Krishnan, lagi satu pengedar filem berkata, beliau menjangka filem itu akan mendapat sambutan yang baik, kerana tarikan jalan cerita filem berkenaan.
Sementara itu, Kokila Vaani Vadiveloo, seorang peguam yang ditemui di majlis tayangan gala berkongsi pandangannya tentang filem tersebut: “Filem itu amat menyeronokkan. Saya gembira melihat aktres-aktres Sneha, Laila, dan aktor Prashanth setelah sekian lama tidak melihat mereka berlakon. Filem aksi itu penuh dengan emosi dan komedi.”
“Saya bukanlah sangat meminati Vijay, tetapi selepas menonton GOAT pandangan saya berubah,” tambahnya.
Tayangan “GOAT” seiring dengan keputusan rasmi Vijay menceburi bidang politik, langkah yang mendapat sambutan hangat dan spekulasi. Difahamkan ‘GOAT’ mencatat kutipan jualan tiket lebih RM10 juta dalam masa empat hari tayangan di Malaysia. – Bernama