BETONG: Penduduk Betong dan kawasan sekitar bakal disajikan dengan hiburan penuh warna menerusi Konsert Rakyat Sarawakku Sayang 2026 yang akan berlangsung di Kompleks Sukan Betong pada 26 September ini, bermula 8.00 malam.
Konsert berkenaan merupakan sebahagian daripada Program Sarawakku Sayang 2026 yang membawa tema ‘Jaga Sarawak, Intu Sarawak’, sekali gus menjadi wadah untuk menghimpunkan masyarakat dalam suasana santai, meriah dan penuh semangat kekitaan.
Acara berkenaan dijangka menarik perhatian orang ramai dengan menampilkan barisan artis dan penghibur tempatan yang mempunyai peminat tersendiri di Sarawak
Antara artis yang bakal membuat persembahan ialah Bob Yusof, Baby Shima, Ricky Andrewson, Chien Ng, Yadee, Dygku Fadzillah, Fir Affandi dan Iwan Dasri.
Selain persembahan solo, kemeriahan konsert turut diserikan dengan persembahan Band D’Jaksa, yang dijangka menghidupkan suasana menerusi rangkaian lagu popular untuk dinikmati para pengunjung.
Penganjuran konsert itu juga dilihat sebagai peluang untuk masyarakat setempat meluangkan masa bersama keluarga dan rakan-rakan sambil menikmati persembahan hiburan dalam suasana yang terbuka dan mesra.
Orang ramai dari Betong serta kawasan berhampiran khususnya dijemput hadir beramai-ramai bagi memeriahkan acara yang dijadualkan berlangsung pada malam Sabtu tersebut.
Dengan gabungan artis pelbagai genre dan persembahan kumpulan muzik, Konsert Rakyat Sarawakku Sayang 2026 dijangka menjadi antara acara hiburan yang dinantikan masyarakat Betong pada bulan ini.
Jangan lepaskan peluang untuk bersama-sama memeriahkan Konsert Rakyat Sarawakku Sayang 2026 di Kompleks Sukan Betong pada 26 September, 8.00 malam.
Oleh Adi Safarman





