Eksklusif: Dana kreatif perlu lebih terbuka kepada penggiat tanpa syarikat – Ali Mohamad

Facebook
WhatsApp
PENGGIAT industri filem dan kreatif veteran serta Penasihat PROFIMA Sarawak, Ali Mohamad, berpandangan akses kepada dana industri kreatif perlu diperluaskan bagi memberi peluang kepada penggiat yang belum mempunyai syarikat atau struktur perniagaan kukuh.

KUCHING: Dana industri kreatif yang disediakan kerajaan perlu dipastikan benar-benar boleh diakses oleh penggiat di peringkat akar umbi, termasuk mereka yang mempunyai pengalaman dan kemahiran tetapi belum mempunyai syarikat atau struktur perniagaan yang kukuh.

Penggiat industri filem dan kreatif veteran serta Penasihat Persatuan Penggiat Filem Profesional Malaysia (PROFIMA) Sarawak, Ali Mohamad, yang mempunyai pengalaman lebih tiga dekad dalam bidang perfileman dan terlibat dalam pelbagai aspek produksi, melihat persoalan mengenai rendahnya permohonan dana bukan semestinya menunjukkan penggiat seni tidak memerlukan pembiayaan.

Sebaliknya, beliau berpandangan keadaan itu mungkin disebabkan jurang dari segi penyampaian maklumat serta syarat yang perlu dipenuhi oleh golongan sasaran.

“Pada pandangan saya, memang ada kemungkinan sebahagian besar penggiat industri kreatif masih kurang mengetahui atau kurang mendapat maklumat mengenai kewujudan dana tersebut.

“Mungkin persoalannya bukan semata-mata kerana dana itu tidak diperlukan, tetapi sejauh mana maklumat mengenainya sampai kepada penggiat industri di peringkat akar umbi,” katanya ketika berkongsi pandangan dengan Utusan Sarawak, hari ini.

Ali turut menyoroti perbezaan antara penggiat yang sudah lama bertapak dalam industri dengan mereka yang masih membina kerjaya.

Menurutnya, golongan berpengalaman yang mempunyai syarikat, aset, modal dan rekod menerima bantuan sebelum ini mungkin lebih bersedia untuk membuat permohonan kerana sudah biasa dengan proses berkenaan.

ALI Mohamad ketika terlibat dalam salah satu produksi seni sepanjang penglibatan beliau dalam industri kreatif.

Namun, situasinya berbeza bagi mereka yang baru hendak membina tapak dalam industri kreatif.

“Ada yang mungkin mempunyai pengalaman bekerja yang luas, kemahiran dan idea, tetapi belum mempunyai syarikat, modal atau aset yang diperlukan untuk memenuhi syarat tertentu dalam permohonan,” jelasnya.

Ali berkata terdapat juga kemungkinan sebahagian penggiat pernah memohon tetapi gagal kerana tidak memenuhi terma dan syarat yang ditetapkan.

Pengalaman tersebut, terutama jika berlaku berulang kali, menurutnya, boleh menyebabkan mereka memilih untuk tidak lagi mencuba dan hanya melihat perkembangan industri dari jauh.

“Walaupun saya mempunyai pengalaman yang luas dalam bidang industri kreatif, saya sedar bahawa tanpa mempunyai syarikat atau struktur perniagaan yang diperlukan, peluang untuk saya mendapatkan dana tersebut mungkin sangat terbatas,” ujarnya.

Beliau berkata keadaan itu menyebabkan dirinya terpaksa menunggu peluang daripada rakan-rakan atau pihak lain untuk terlibat dalam sesuatu projek.

“Jadi, apa yang mampu saya lakukan ialah menunggu peluang daripada rakan-rakan atau pihak lain untuk melibatkan diri dalam sesuatu projek,” tambahnya.

ALI Mohamad ketika menerima anugerah sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan beliau dalam bidang seni dan industri kreatif.

Sehubungan itu, Ali berpandangan penilaian terhadap keberkesanan dana tidak seharusnya hanya berdasarkan jumlah peruntukan atau bilangan permohonan yang diterima.

Sebaliknya, aspek yang lebih penting ialah sejauh mana pembiayaan tersebut dapat disalurkan kepada penggiat yang benar-benar mempunyai pengalaman, kemahiran dan potensi untuk membangunkan industri.

“Mungkin sudah tiba masanya kita melihat bukan sahaja kepada jumlah dana yang disediakan, tetapi juga kepada bagaimana dana itu dapat sampai kepada lebih ramai penggiat industri,” tegasnya.

Menurut beliau, perhatian khusus perlu diberikan kepada mereka yang mempunyai pengalaman dan kemahiran tetapi belum mempunyai kekuatan dari segi modal atau struktur syarikat.

Dalam pada itu, Ali mencadangkan pendekatan yang lebih terbuka dan mudah difahami supaya penggiat di peringkat akar umbi mengetahui peluang yang tersedia serta cara untuk memanfaatkannya.

Promosi dan hebahan, menurutnya, perlu diperluaskan, selain maklumat berkaitan kelayakan, proses permohonan serta keperluan dokumentasi disampaikan dengan lebih jelas kepada golongan sasaran.

Beliau menyifatkan dana berkenaan sebagai peluang yang baik untuk membantu perkembangan industri kreatif Sarawak, namun masih terdapat ruang untuk menambah baik penyampaian maklumat serta akses kepada peluang pembiayaan bagi lebih ramai penggiat.

Oleh Adele Rissa