BANGKOK: Thailand dan United Kingdom akan membentuk satu perkongsian strategik bagi mengukuhkan komitmen mereka untuk mengeratkan kerjasama dalam pelbagai bidang seperti ekonomi, perdagangan, pelaburan, perubahan iklim dan pertanian.
Dalam satu kenyataan Kementerian Luar berkata Thailand dan United Kingdom akan mengumumkan secara rasmi hubungan mereka sebagai satu Perkongsian Strategik semasa lawatan Menteri Luar, Komanwel dan Hal Ehwal Pembangunan United Kingdom Lord Cameron of Chipping Norton ke Thailand, hari ini.
“Menteri Luar kedua-dua negara akan menandatangan ‘Hala Tuju Perkongsian Strategik Thailand-UK’ bagi mengukuhkan komitmen bersama mereka untuk menggalakkan kerjasama menyeluruh dalam lapan bidang utama,” katanya.
Lapan bidang utama itu ialah ekonomi, perdagangan dan pelaburan; parlimen dan multilateralisme; keselamatan dan pertahanan; perubahan iklim, tenaga, ekonomi hijau dan pembangunan mampan; pertanian, digital, sains, teknologi dan inovasi, kesihatan awam, hubungan rakyat ke rakyat, pendidikan dan kuasa lembut.
United Kingdom merupakan rakan kongsi strategik pertama Thailand di Eropah.
Thailand dan United Kingdom mempunyai hubungan yang menjangkau hampir dua kurun. Kedua-dua negara akan menyambut Ulang Tahun Hubungan Diplomatik Ke-170 tahun depan.
Sementara itu, Lord Cameron akan melakukan kunjungan hormat terhadap Perdana Menteri Srettha Thavisin, hari ini.
Lord Cameron yang merupakan bekas Perdana Menteri British akan mengadakan mesyuarat dua hala dengan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Luar Thailand Parnpree Bahiddha-Nukara.
“Mesyuarat itu menyasarkan untuk mengukuhkan kerjasama di dalam perdagangan dan pelaburan; keselamatan dan pertahanan; sains, teknologi dan inovasi (STI); perubahan iklim; pelancongan dan pertukaran budaya, kata Kementerian Luar. – Bernama