Selagi tiada bukti, harapan masih ada, kata isteri rakyat Malaysia hilang di Nepal

Facebook
WhatsApp
SEORANG lelaki duduk di balkoni sebuah rumah yang dipenuhi lumpur susulan banjir kilat di Devighat, daerah Nuwakot, Nepal pada 8 September 2026. Foto AFP

KUALA LUMPUR: Selagi tiada bukti yang mengesahkan nasib suaminya, Hani Othman tetap menaruh harapan bahawa Pegawai Pasukan Khas Udara Bomba (PASKUB) Mohd Fakhrul Munir Mohd Isa, 44, yang dilaporkan hilang bersama-sama lapan rakyat Malaysia lain dalam tragedi banjir di Rasuwa, Nepal, akan ditemukan.

“Selagi tiada sebarang bukti yang mengesahkan apa-apa tentang suami saya, harapan itu masih ada,” kata Hani yang berada di Nepal bagi mengikuti perkembangan operasi mencari dan menyelamat (SAR) suaminya yang mesra disapa Loe serta lapan rakannya.

Bercakap kepada Bernama ketika dihubungi hari ini, Hani berkata ekspedisi ke Everest Base Camp (EBC) yang digelar kumpulan sahabat berkenaan sebagai “trip bapa-bapa” itu telah lama dirancang dan begitu dinanti-nantikan mereka.

“Mereka semua kenal antara satu sama lain, memang sudah lama rancang ekspedisi ini dan mereka sangat teruja dengan trip ini,” katanya.

Mohd Fakhrul Munir dan lapan rakannya hilang selepas kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki mereka dalam ekspedisi ke EBC dipercayai terjejas akibat banjir ketika melalui sebuah lembah di Rasuwa pada 26 Ogos lepas.

Yang turut berada dalam kumpulan itu ialah Timbalan Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Mohd Sani Harul bersama dengan tujuh lagi rakyat Malaysia serta seorang warga Nepal.

Hani, yang memasuki hari ke-11 berada di Nepal atas inisiatif sendiri, berkata makluman terbaharu diterimanya daripada Wisma Putra ialah Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) telah bergerak ke kawasan Trishuli semalam, antara lokasi utama bencana dan penempatan pasukan penyelamat.

Dalam pada itu, Hani berkata beliau telah kembali ke Kathmandu selepas bermalam di Betrawati bagi menyertai misi pengagihan bantuan kemanusiaan hasil sumbangan rakyat Malaysia bersama-sama badan bukan kerajaan (NGO) tempatan.

Beliau berkata bantuan hanya dibenarkan diagihkan di pusat penempatan mangsa di Betrawati kerana kawasan yang lebih hampir dengan lokasi bencana masih ditutup atas faktor keselamatan dan bagi mengelakkan gangguan terhadap operasi SAR.

Hani berkata baki sumbangan rakyat Malaysia akan disalurkan kepada rumah kebajikan di Malaysia kerana bantuan di Nepal kini mencukupi susulan kehadiran pelbagai NGO di kawasan terjejas.

Menggambarkan keadaan di Betrawati, Hani berkata kesan banjir di kawasan itu amat dahsyat dengan ratusan penduduk dilaporkan masih hilang, manakala hanya sembilan mangsa ditemukan hidup setakat ini.

Sementara itu, Hani berkemungkinan pulang ke Malaysia dalam beberapa hari lagi bagi menyelesaikan urusan suaminya yang masih tertangguh.

Dalam tragedi banjir pada 26 Ogos itu, sebanyak 55 rakyat Malaysia dilaporkan gagal dihubungi, manakala 77 lagi yang dikesan selamat di Tibet dan Nepal telah dibawa ke Kathmandu untuk menjalani proses dokumentasi sebelum pulang ke Malaysia.- Bernama