LAWAS: Pemimpin Sarawak tidak bersifat retorik semata-mata sebaliknya tetap melaksanakan segala yang dijanjikan kepada rakyat di negeri ini.
Ketua Menteri Datuk Patinggi Dr Abang Johari Tun Abang Haji Openg menjelaskan bahawa menjelang empat tahun akan datang, seluruh kawasan pesisir dan pedalaman Sarawak akan dihubungi dengan jalinan jalan raya yang baik.
Beliau yang menghadiri Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Kampung Punang Lawas semalam yakin jalan raya daripada Sibu hingga ke Kapit, Miri ke Mulu menuju Limbang dan Lawas akan dapat dihubungi melalui jalan raya yang menuju ke Lebuh Raya Pan Borneo dan laluan pesisir yang terbentang daripada Sematan hingga ke Lawas.
Oleh demikian, Abang Johari telah memberikan kebenaran kepada Timbalannya Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan meneruskan projek pembinaan jalan pesisir di Lawas dan Limbang seterusnya menghubungkan jalan daripada Limbang ke Gunung Buda, Mulu dan terus ke Miri.
“Selagi Gabungan Parti Sarawak (GPS) mentadbir urus Sarawak, bumi ini akan terus maju hingga menjadi yang termaju di negara ini,” ujarnya.
Hadir sama Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan merangkap Menteri Pembangunan Bandar & Sumber Asli II dan Menteri Perdagangan Antarabangsa & Industri, Terminal Perindustrian & Pembangunan Usahawan, Sarawak, Menteri Muda Perdagangan Antarabangsa & Industri, Terminal Perindustrian & Pembangunan Usahawan, Sarawak Datuk Haji Mohd Naroden Haji Majais, Menteri Muda Pemodenan Pertanian dan Tanah Adat Sarawak Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, Timbalan Menteri Kementerian Pembangunan Luar Bandar Malaysia Dato Henry Sum Agong, Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia Haji Hasbi Habibollah, Residen Bahagian Limbang Ir Ahmad Denney Ahmad Fauzi dan kenamaan lainnya.
Ketua Menteri turut mengingatkan pentingnya perpaduan antara rakyat dan kerjasama mereka dalam memastikan keamanan Sarawak terpelihara.
Ini kerana, menjelang musim ‘hujan’ (pilihan raya) ada banyak parti baharu yang tumbuh seperti cendawan.
“Kita harus ingat bahawa GPS sebagai sebuah parti yang mempunyai pendekatan bijak dalam menjaga hubungan dengan Kerajaan Persekutuan untuk membangunkan Sarawak.
“Pada masa sama, kita juga menjaga hak kita dan menuntut balik segala hak Sarawak yang terhakis,” tambahnya.
Abang johari berkata, rakyat Sarawak juga perlu faham bahawa GPS menyokong dan memberi kerjasama kepada kepimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana menyedari negara berdepan dengan masalah Covid-19 dan ketidak tentuan kerana ketiadaan pemimpin menerajui negara selepas Tun Mahathir meletakkan jawatannya.
Namun demikian, ujarnya lagi hak Sarawak terus dituntut dan dipertahankan demi masa depan Sarawak.
Beliau menambah, pembangunan Sarawak dirancang dengan baik secara sistematik menerusi RECODA yang kemudiannya mengikut wilayah dibawah URDA, HDA dan NRDA.
“Segala yang dirancang adalah atas kehendak rakyat yang mahukan pembangunan. Selain itu, kebajikan rakyat terus diberi keutamaan seperti bidang pendidikan, kesihatan, pembangunan ekonomi dan kebajikan rakyat yang berdepan kesukaran,” katanya.
Pada majlis berkenaan Abang Johari turut menyampaikan bantuan enjin sangkut dan bantuan lain untuk membangunkan ekonomi penduduk luar bandar.