BINTULU, 13 November: Taman Negara Similajau terus memainkan peranan penting dalam usaha pemuliharaan biodiversiti Sarawak sejak penubuhannya 50 tahun lalu, menerusi pelbagai inisiatif melindungi ekosistem hutan, pantai dan marin.
Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) dalam kenyataan media berkata, sambutan Jubli Emas taman negara itu mencerminkan komitmen berterusan Sarawak dalam melindungi khazanah alam semula jadi serta memelihara kepelbagaian biodiversiti untuk generasi akan datang.
Majlis sambutan itu turut dihadiri Timbalan Residen Bahagian Bintulu, Abang Zainuddin Abang Turkey, yang mewakili Residen Bahagian Bintulu.
Dengan keluasan 22,120 hektar, Taman Negara Similajau merangkumi pelbagai ekosistem termasuk hutan, kawasan pantai dan perairan marin yang memainkan peranan penting dalam memastikan kelangsungan habitat serta keseimbangan ekosistem semula jadi.

Antara inisiatif pemuliharaan yang dilaksanakan ialah usaha melindungi penyu menerusi kerjasama SFC dan Malaysia LNG Group of Companies (MLNG) di bawah Projek BEACON, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan dalam memelihara hidupan marin.
Dalam perkembangan berkaitan, SFC turut merakamkan penghargaan kepada Bintulu Port Holdings Berhad atas sumbangan berjumlah RM15,155.50 bagi menyokong pembangunan laluan baharu yang dikenali sebagai Bintulu Port Eco Trail.
Pembangunan laluan itu bertujuan memperkaya pengalaman pengunjung selain menggalakkan aktiviti ekopelancongan secara lestari di kawasan taman negara berkenaan.
SFC turut menegaskan komitmennya untuk memperkukuh pengurusan taman negara berasaskan sains dan teknologi, di samping memastikan aktiviti pelancongan dilaksanakan secara lestari.
Sambutan Jubli Emas itu bukan sahaja memperingati sejarah penubuhan Taman Negara Similajau, malah mengingatkan semua pihak mengenai tanggungjawab bersama dalam memastikan khazanah alam semula jadi tersebut terus terpelihara untuk generasi akan datang.





