
POTSDAM, Jerman: Pengeluar kenderaan elektrik Amerika Syarikat (AS), Tesla merancang merekrut lebih 1,500 pekerja baharu bagi memperluas pengeluaran sel bateri di Jerman, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Syarikat itu pada Selasa mengumumkan hampir AS$250 juta akan dilaburkan bagi membolehkan pengeluaran tahunan berkapasiti 18 gigawatt jam (GWh) di Grünheide, berhampiran Berlin.
Pada April, syarikat itu mengumumkan rancangan mengambil kira-kira 1,000 pekerja baharu di satu-satunya kilang keretanya di Eropah menjelang akhir Jun susulan permintaan yang meningkat.
Langkah itu bertujuan meningkatkan pengeluaran sebanyak satu perlima kepada kira-kira 6,000 kenderaan seminggu atau 300,000 setahun.
Angka pengeluaran dan pendaftaran kenderaan sebelum ini merosot, namun Tesla kini melihat tanda pemulihan.
Menurut syarikat itu, lebih ramai pekerja diperlukan bagi meningkatkan pengeluaran sel bateri, dengan keperluan tenaga kerja di bahagian berkenaan dianggarkan melebihi 1,500 orang.
Seorang jurucakap ketika ditanya berkata pengambilan pekerja itu dijangka dilaksanakan dalam jangka sederhana.
Pada masa ini, sel bateri dihasilkan di AS sebelum dihantar ke Jerman.
Eropah setakat ini masih ketinggalan, khususnya berbanding Asia dalam pengeluaran sel bateri bagi kenderaan elektrik.
Ketua Pegawai Eksekutif Tesla Elon Musk pada 2020 mengumumkan hasrat menjadikan kilang berhampiran Berlin sebagai kilang bateri terbesar di dunia.
Tesla membuka Gigafactory Berlin-Brandenburg kira-kira empat tahun lalu dan pada awalnya menyasarkan pengeluaran 500,000 kereta setahun.- Bernama-dpa