
PARIS, Perancis: Haiwan yang paling berbahaya bukanlah singa, labah-labah atau ular, tetapi nyamuk kecil yang menghisap darah manusia, menyebabkan kegatalan dan menyebarkan penyakit.
Nyamuk membunuh kira-kira 760,000 orang setiap tahun, menurut laman penyelidikan Our World in Data, manakala manusia sendiri berada di tempat kedua dengan jurang yang jauh.
Ini kerana nyamuk menyumbang kepada 17 peratus daripada keseluruhan penyakit berjangkit, termasuk malaria, denggi, demam kuning, chikungunya dan Zika.
Apabila dunia semakin panas akibat perubahan iklim berpunca daripada manusia, nyamuk kini merebak ke kawasan baharu semasa musim panas yang lebih panjang, sekali gus meningkatkan kebimbangan bahawa ia boleh mencetuskan krisis kesihatan pada masa depan.
Justeru, bagaimana manusia boleh menentang musuh terbesar ini? Adakah wujud cara yang selamat untuk menghapuskan nyamuk pembunuh ini — dan sejauh manakah kesannya terhadap alam sekitar?
Bukan Semua Nyamuk
Pertama, tidak semua nyamuk perlu dimusnahkan. Daripada kira-kira 3,500 spesies nyamuk, hanya sekitar 100 spesies yang menggigit manusia.

Dan hanya lima spesies bertanggungjawab terhadap kira-kira 95 peratus jangkitan manusia, kata ahli biologi vektor dari Liverpool School of Tropical Medicine, Hilary Ranson kepada AFP.
Secara keseluruhan, Ranson berpendapat kehilangan lima spesies nyamuk itu “boleh diterima memandangkan kemusnahan besar” yang mereka akibatkan di seluruh dunia, daripada kematian besar-besaran hingga kesan ekonomi yang teruk.
Dan Peach, ahli entomologi nyamuk dari University of Georgia, secara umum bersetuju, namun menegaskan bahawa lebih banyak maklumat diperlukan untuk membandingkan usaha pembasmian dengan alternatif lain.
Bagaimana Dengan Alam Sekitar?
Lima spesies nyamuk penyebar penyakit itu “telah berevolusi untuk sangat berkait rapat dengan manusia,” termasuk dari segi pemakanan darah dan pembiakan berhampiran manusia, jelas Ranson.
Ini bermakna pembasmian mereka tidak akan memberi kesan besar kepada ekosistem yang lebih luas — malah nyamuk lain yang secara genetik serupa tetapi kurang berbahaya berkemungkinan cepat “mengisi niche ekologi” tersebut, tambahnya.

Peach bagaimanapun tidak yakin bahawa data sedia ada mencukupi “tentang ekologi kebanyakan spesies nyamuk untuk memastikan kesannya sama ada ya atau tidak, tetapi saya juga berpendapat adalah wajar untuk mengakui perkara ini dan masih meneruskannya.”
Nyamuk juga “memindahkan nutrien dari habitat larva akuatik mereka” ke kawasan lain, serta menjadi makanan kepada serangga, ikan dan haiwan lain, katanya.
Nyamuk turut membantu proses pendebungaan tumbuhan, namun perkara itu “tidak difahami dengan baik dan mungkin berbeza mengikut spesies,” tambah Peach.
Ranson mengakui wujud perdebatan etika mengenai tindakan manusia melakukan “spesisisid”, sambil menegaskan bahawa pada masa yang sama manusia juga sedang menyebabkan kepupusan banyak spesies secara tidak sengaja.
Bagaimana Ia Boleh Dilakukan?
Antara pilihan teknologi baharu yang paling menonjol ialah gene-drive, iaitu teknik pengubahsuaian genetik haiwan supaya ia mewariskan ciri tertentu kepada keturunannya dengan kadar yang luar biasa tinggi.

Apabila saintis mengubah nyamuk Anopheles gambiae betina pembawa malaria supaya menjadi mandul, populasi tersebut dapat dihapuskan di makmal dalam beberapa generasi sahaja.
Target Malaria, yang dibiayai oleh Yayasan Gates, masih belum menguji teknologi gene-drive di Afrika, namun merancang untuk menjalankan ujian di negara endemik malaria menjelang 2030.
Namun, projek Target Malaria menerima tamparan tahun lalu apabila kerajaan Burkina Faso yang diterajui tentera menamatkan ujian berasingan melibatkan nyamuk diubah suai genetik di negara itu, selepas mendapat bantahan kumpulan masyarakat sivil serta kempen maklumat palsu.
Strategi lain ialah dengan menjangkiti nyamuk Aedes aegypti menggunakan bakteria Wolbachia. Kaedah ini boleh meruntuhkan populasi nyamuk tersebut — atau sekurang-kurangnya mengurangkan keupayaan mereka menyebarkan denggi.
Ini menimbulkan persoalan lain: adakah nyamuk sebenarnya perlu dibunuh?
Bagaimana Jika Jadikan Nyamuk Tidak Berbahaya?
Apabila nyamuk steril yang dijangkiti Wolbachia dilepaskan di bandar Niterói, Brazil, kes denggi dilaporkan menurun sebanyak 89 peratus, menurut kajian tahun lalu.
Lebih 16 juta orang di 15 negara kini telah dilindungi oleh kaedah ini, dengan “tiada kesan negatif”, kata pengasas World Mosquito Program, Scott O’Neill kepada AFP.
Sementara itu, projek bernama Transmission Zero sedang berusaha menggunakan teknologi gene-drive bagi memastikan nyamuk Anopheles gambiae tidak lagi menyebarkan malaria.
Kajian makmal yang diterbitkan dalam jurnal Nature pada akhir tahun lalu menunjukkan saintis semakin hampir mencapai matlamat tersebut, dengan pasukan merancang untuk melancarkan ujian di negara berkaitan pada 2030.
Kemunduran di Burkina Faso menunjukkan bahawa projek-projek ini mesti memperoleh “sokongan politik atau penerimaan” daripada negara tempat ujian dijalankan, kata penulis kajian Dickson Wilson Lwetoijera dari Ifakara Health Institute, Tanzania kepada AFP.
– AFP