SEMATAN: Rakyat khususnya di Kawasan Telok Melano dan Telok Serabang diminta untuk mengekalkan undi 100 peratus dengan tidak memberi sebarang undi kepada pihak pembangkang.
Ketua Pergerakan Parti Bumiputera Bersatu (PBB) N.3 Tanjong Datu, Azizul Annuar Adenan berkata, Telok Melano dan Telok Serabang merupakan kubu terkuat bagi Gabungan Parti Sarawak (GPS) di kawasan itu.
“Melihat Telok Melano dan Telok Serabang ia seperti melihat impian Allahyarham ahyanda saya Pehin Sri Haji Adenan Satem.
“Ini adalah kerana, usaha yang dibuat oleh beliau dan kerajaan telah memberi keselesaan dan kemudahan kepada penduduk di sini.” Ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika mewakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.3 Tanjong Datu, Datuk Amar Jamilah Anu pada Program Tautan Kasih N3 Tanjong Datu untuk Kampung Telok Melano dan Telok Serabang di Ask Suri Homestay Telok Serabang, baru-baru ini.
Beliau berkata, pembangunan yang ada di Telok Melano dan Telok Serabang kini dan sebelumnya adalah jauh berbeza.
“Jika dulu ke telok Melano dan Telok Serabang terpaksa menggunakan bot dan helikopter setiap kali menghantar barang apabila tibanya musim tengkujuh tetapi sekarang penduduk di kawasan ini mereka boleh menggunakan jalan raya.
“Ini adalah kerana, hanya kerajaan GPS yang tahu kehendak rakyat di kawasan ini. Terima Kasih GPS,” Katanya.
Tambah beliau lagi, sebelum adanya jalan raya ke Telok Melano dan Telok Serabang Kawasan ini sunyi sahaja.
“Pagi ini sewaktu hendak datang ke Kawasan ini, saya dapati kereta berbaris Panjang hendak masuk ke feri Rambungan untuk datang ke Telok Melano dan Telok Serabang.
“Ini membuktikan bahawa N3 Tanjong Datu sentiasa menjadi pilihan untuk pelancong datang berkunjung.
“Oleh kerana itu pembangunan demi pembangunan akan terus dilakukan di Telok Melano dan Telok Serabang seperti Projek Rakyat jalan raya Kampung Telok Melano dan Telok Serabang dengan kos masing-masing RM5 juta,” tambahnya.
Hadir sama, Pegawai Tugas-Tugas Khas kepada Ketua Menteri Sarawak, Helmi Hazemi, Timbalan Ketua Cawangan PBB N3 Tanjong Datu, Abu Seman Karim. Naib Ketua Cawangan, Pemanca Benjamin Gersit Jais dan Setiausaha Cawangan, Abdul Razak Abdul Wahab.
Oleh Jeakqleyn Yacho