Penunggang motosikal maut dalam kemalangan di Simpang Jalan Bulatan Miri

Facebook
WhatsApp
MAUT... Mangsa maut selepas motosikal yang ditungganginya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah pacuan empat roda di Simpang Jalan Bulatan, Miri, malam tadi.

MIRI, 19 November: Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditungganginya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di Simpang Jalan Bulatan, di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Miri, ACP Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, kejadian berlaku kira-kira 7.45 malam.

Menurutnya, kemalangan membabitkan sebuah pacuan empat roda yang dipandu lelaki tempatan berusia 25 tahun dan sebuah motosikal yang ditunggang mangsa berusia 22 tahun.

“Siasatan awal mendapati kenderaan pacuan empat roda yang hendak memasuki simpang jalan bulatan dipercayai melanggar motosikal yang bergerak terus dari arah bertentangan, iaitu dari Taman Bulatan menghala ke Bulatan GK,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, akibat kemalangan itu, penunggang motosikal mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pembantu perubatan Hospital Miri kira-kira 8.12 malam.

Pemandu kenderaan pacuan empat roda bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Oleh Liong Chai Ling