SARATOK: “Terima kasih Utusan Sarawak, kerana keperitan dan kesempitan bebanan kewangan yang dihadapi keluarga kami akhirnya diambil perhatian oleh pelbagai pihak,” tegas Anasiah Antey, 38.
Ahad lalu, Utusan Sarawak telah memaparkan kisah bertajuk ‘Pesakit Kanser tahap empat mohon bantuan’ yang mengisahkan seorang bapa kepada lima anak berusia dua bulan hingga 17 tahun itu memerlukan bantuan untuk menanggung kos perubatan beliau kerana telah disahkan menghidap kanser usus tahap empat baru-baru ini.
Bebanan tersebut bertambah apabila memerlukan perbelanjaan bagi anak mereka yang berusia dua bulan dengan pembelian pampers, susu formula dan banyak lagi.
Lebih menyedihkan apabila, Rodie Hasim, 41, dari Kampung Melango Baru Saratok itu tidak mampu lagi bekerja yang sebelum ini hanya bekerja kampung dengan pendapatan tidak menentu.
Justeru itu, isteri Rodie iaitu Anasiah baru-baru ini merayu bantuan orang ramai dan pihak berkenaan bagi membiayai kos rawatan dan ubatan penyakit yang dialami suaminya itu.
“Saya mewakili keluarga kami, mengucapkan jutaan terima kasih kepada Utusan Sarawak, kerana dengan berita itu kesusahan dan rayuan keluarga kami bagi meminta bantuan orang ramai segera diambil perhatian oleh pelbagai pihak.
“Tidak lupa juga kepada keluarga terdekat, rakan-rakan, individu-individu, orang perseorangan, penduduk
Saratok, serta semua masyarakat di negeri ini yang turut membantu menularkan kisah suami saya di media sosial seperti Facebook, Whatsapp dan lain-lain lagi,” ujarnya.
Semalam juga kata Anasiah, beliau telah menerima kunjungan daripada pihak Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) bagi menyampaikan bantuan kepada keluarga mereka di sini.
Bukan itu sahaja, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak juga turut tampil menghulurkan sumbangan dan bantuan bulanan kepada keluarga terbabit.
“Kami sekeluarga tidak mempunyai pendapatan tetap. Hanya bergantung dengan ibu Rodie yang hanya meraih pendapatan melalui jualan burger di Gerai MDS Saratok.
“Dengan situasi itu, masalah kewangan telah membebankan kami ditambahkan lagi suami saya akan menerima rawatan susulan serta rawatan kimoterapi selepas ini,” katanya.
Anasiah yang sebelum ini menjadi buntu apabila memikirkan tidak mempunyai sumber kewangan bagi meneruskan rawatan suaminya, sekadar mengharap bantuan dan ihsan daripada pihak keluarga serta rakan-rakan terdekat yang sudi memberi sumbangan.
“Duit simpanan yang ada sudah habis digunakan untuk tujuan perubatan suami. Saya buntu bagaimana hendak cari duit bagi menampung kos perubatan serta rawatan kimoterapi selepas ini.
“Alhamdulillah, mujurlah wartawan Utusan Sarawak yang juga rakan sekolah saya telah sudi untuk membantu dengan memaparkan kisah suami saya, kini kami rasa terbela,” tambahnya.
Oleh ADI SAFARMAN