MIRI: Kebersihan bandar raya Miri perlu menjadi tanggungjawab bersama dan tidak hanya diberi perhatian ketika kempen gotong-royong.
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Miri (MBM), Adam Yii, berkata Program Hari Cuci Malaysia yang diadakan di Medan Saberkas dan kawasan sekitar Saberkas serta Bulatan bukan sekadar aktiviti pembersihan, sebaliknya bertujuan menggalakkan masyarakat mengambil tanggungjawab menjaga kebersihan persekitaran.
Beliau menyeru penduduk, pengusaha perniagaan, agensi dan komuniti supaya tidak menunggu kempen seterusnya untuk bertindak, sebaliknya mengambil inisiatif menjaga kebersihan kawasan masing-masing serta melaporkan kegiatan pembuangan sampah secara tidak bertanggungjawab.


TANGGUNGJAWAB BERSAMA…Sebahagian peserta menyertai gotong-royong Program Hari Cuci Malaysia di Miri hari ini.
“Bersihkan kawasan sekitar rumah, premis, pejabat dan kejiranan. Kebersihan perlu menjadi amalan dan mencerminkan rasa bangga terhadap bandar kita,” katanya ketika berucap pada program tersebut, hari ini.
Beliau berkata, usaha kecil yang dilakukan setiap individu secara bersama mampu memberi impak besar dan berterusan terhadap kebersihan serta kualiti hidup di bandar raya ini.
Oleh Liong Chai Ling




