PIHAK pengurusan skuad futsal Sarawak United menzahir rasa terima kasih kepada semua pemain, jurulatih mahupun pegawai.
Ia berikutan kematangan mereka dalam menerima keputusan diumumkan badan induk, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) berhubung pembatalan saingan Liga Futsal Premier Malaysia 2020 sebelum ini.
Sekali gus, menjurus sama pembatalan kontrak mereka secara tidak langsung, kata Pengurus Pasukan, Mohd. Zaifulfadillah Junaidi ketika mengulas mengenai perkara itu.
“Pihak kita ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada pemain, jurulatih mahupun pegawai.
“Mereka bersikap terbuka dalam menerima keputusan tersebut terutama melihat kepada situasi yang melanda negara serta dunia ketika ini,” jelas Zaifulfadillah.
Sebelum ini, beliau ada menegaskan bahawa pihaknya akan mengekalkan barisan pemain sedia ada dalam pasukan berkenaan bagi menghadapi kempen Liga Futsal Primier Malaysia (MPFL) 2021.
Menurut Zaifulfadillah, sememangnya ada rahmat disebalik pembatalan saingan MPFL 2020 yang diumumkan badan induk tertinggi itu.
“Apa yang berlaku secara tidak langsung dapat memberi peluang untuk kita membentuk satu pasukan baharu yang lebih mantap pada masa akan datang.
“Kita akan lebih bersedia untuk menghadapi saingan musim baharu kelak dengan himpunan pemain sedia ada sekarang,” jelas beliau.
Oleh Faizal Bujang