Disiplin, kompetensi kunci kejayaan graduan maritim

Facebook
WhatsApp
SELAMAT MAJU JAYA.....Jasri (duduk, tengah) bersama para pelatih yang berjaya menamatkan kursus Chief Mate & Master 3000 GT NCV, hari ini. Turut kelihatan ialah James (duduk, tiga kiri).

SIBU: Graduan maritim perlu terus meningkatkan kelayakan profesional dan mengekalkan disiplin yang tinggi bagi merebut peluang kerjaya lebih luas di peringkat antarabangsa.

Ketua Penolong Pengarah Jabatan Laut Sibu, Jasri M. Shaah berkata, sijil kompetensi yang dimiliki graduan bukan sahaja membuka peluang pekerjaan dalam negara, malah membolehkan mereka berkhidmat di beberapa negara luar khususnya di rantau ASEAN.

Menurutnya, setiap pelaut yang bekerja di luar negara secara tidak langsung membawa imej Malaysia, justeru aspek disiplin, sikap dan tingkah laku ketika berada di atas kapal perlu sentiasa diberi perhatian.

“Apabila kamu bekerja di luar negara, mereka bukan sahaja melihat kemampuan kamu, tetapi juga disiplin dan sikap. Jika pelaut Malaysia menunjukkan prestasi baik, mereka akan melihat Malaysia juga mempunyai tenaga kerja maritim yang berkualiti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Graduasi Institut Latihan TCCS Marine Sdn. Bhd. di sini, hari ini.

Jasri berkata, kerjaya dalam bidang maritim sememangnya mencabar kerana pelaut perlu berdepan keadaan bekerja jauh dari keluarga, termasuk berjauhan dengan pasangan dan anak-anak dalam tempoh tertentu

“Sehubungan itu, saya menghargai pengorbanan ahli keluarga terutama isteri, ibu bapa dan anak-anak yang menjadi sumber kekuatan kepada mereka yang memilih kerjaya di laut,” katanya.

Beliau berkata, graduan juga tidak seharusnya berhenti setakat kelayakan sedia ada, sebaliknya perlu berusaha meningkatkan sijil kompetensi ke tahap lebih tinggi bagi membuka peluang kemajuan dalam kerjaya.

“Kalau ada kemahuan, teruskan naik taraf kelayakan secara langkah demi langkah. Memang memerlukan pengorbanan dari segi kos, masa dan keluarga, tetapi ia penting untuk masa depan,” ujarnya lagi.

Jasri memberitahu, industri maritim menawarkan pelbagai pilihan kerjaya, sama ada sebagai pegawai kapal, bekerja dalam sektor perkapalan, agensi kerajaan, bidang perikanan, pertahanan maritim mahupun sektor berkaitan.

Beliau turut menasihatkan graduan supaya bijak mengurus kewangan walaupun memperoleh pendapatan yang lebih tinggi berbanding pekerjaan lain.

Katanya, pendapatan besar perlu disertai perancangan kewangan yang baik kerana kegagalan mengawal perbelanjaan boleh memberi kesan kepada masa depan diri dan keluarga.

Beliau turut mengingatkan bahawa disiplin dan komitmen merupakan perkara paling penting dalam industri maritim kerana syarikat sentiasa memerlukan pekerja yang boleh dipercayai dan bertanggungjawab.

“Jika ada masalah disiplin atau tidak menunjukkan komitmen, peluang itu boleh diberikan kepada orang lain kerana ramai lagi menunggu untuk bekerja di atas kapal,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Institut Latihan TCCS Marine Sdn Bhd Bhd, James Ho berkata, mengucapkan terima kasih kepada semua pelatih kerana telah memberikan kepercayaan untuk mengikuti latihan dalam industri perkapalan di institut latihan tersebut.

“Kejayaan ini adalah berkat daripada hasil kerja keras anda semua. Terima kasih kerana memilih kami (Institut Latihan TCCS Marine Sdn Bhd Bhd) sebagai pilihan untuk mengikuti latihan perkapalan,” ujarnya.

Beliau berharap para pelatih memanfaatkan semua kamahiran yang diperolehi dalam alam pekerjaan sebenar.

Pada majlis tersebut, seramai lima pelatih berjaya menamatkan latihan kursus WKO Above 500GT Near Coastal Voyages (NCV), empat pelatih bagi kursus WKE Above 750KW NCV, lima pelatih bagi kursus Combine Chief Mate & Master Above 3000GT NCV, serta dua pelatih bagi kursus Combine 2nd ENGR & Chief ENGR Above 3000KW NCV.

Turut hadir Pengarah Urusan Institut Latihan TCCS Marine Sdn Bhd James Ho.

Oleh Akun Giman