KUCHING: Kejohanan Jemputan Skuasy Kuching 2026 dijangka menjadi platform mencungkil bakat baharu serta memperkukuh pembangunan pemain skuasy tempatan apabila menghimpunkan penyertaan dari seluruh Sarawak pada September ini.
Dianjurkan oleh Persatuan Skuasy Kuching (SAK), kejohanan tersebut akan berlangsung selama tiga hari dari 4 hingga 6 September 2026 di Gelanggang Skuasy Kelab Sarawak, Kuching.
Presiden Persatuan Skuasy Kuching (SAK) merangkap Pengerusi Kejohanan Jemputan Skuasy Kuching 2026, Shaukat Khan berkata, kejohanan itu dianjurkan sebagai sebahagian usaha menyediakan platform pembangunan kepada pemain tempatan selain menggalakkan lebih ramai menyertai sukan skuasy.

“Kejohanan ini lebih daripada sekadar pertandingan. Ia adalah platform untuk memupuk bakat muda, mengukuhkan hubungan dalam komuniti sukan dan menggalakkan lebih ramai menyertai skuasy.
“Setiap atlet yang turun ke gelanggang bukan sahaja bersaing untuk kejuaraan, tetapi turut mempelajari nilai disiplin, semangat kesukanan dan rasa hormat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media pelancaran Kejohanan Jemputan Skuasy Kuching 2026 di sini Kelab Sarawak, hari ini.
Menurutnya, kejohanan berkenaan dijangka menarik penyertaan antara 70 hingga 100 pemain dari seluruh Sarawak melibatkan Kuching, Sibu, Miri, Bintulu dan Samarahan.
Shaukat berkata, kejohanan itu terbuka secara eksklusif kepada pemain Sarawak sahaja sebagai usaha memberi lebih banyak peluang kepada bakat tempatan untuk berkembang dalam sukan tersebut.
“Kita mahu lebih ramai kanak-kanak mula bermain skuasy sejak usia muda supaya mereka boleh berkembang daripada peringkat akar umbi, sekolah, kebangsaan dan seterusnya antarabangsa,” ujarnya.
Bagi edisi kali ini, sebanyak 10 kategori dipertandingkan membabitkan kategori Lelaki Premier, Wanita Premier serta kategori Lelaki Bawah 15, 13, 11 dan 9 tahun serta Perempuan Bawah 15, 13, 11 dan 9 tahun.
Penyertaan dibuka kepada pelajar sekolah sekitar Kuching serta pemain daripada kelab skuasy di seluruh Sarawak.
Penyertaan dikenakan yuran pendaftaran sebanyak RM80 bagi setiap peserta, dengan tarikh tutup pendaftaran ditetapkan pada 15 Ogos 2026.
Menurut Shaukat, pihak penganjur turut menyediakan hadiah keseluruhan bernilai kira-kira RM10,000 merangkumi hadiah wang tunai dan barangan sebagai penghargaan kepada para peserta.
Katanya, setiap peserta yang mendaftar turut menerima baju rasmi kejohanan serta cenderamata sebagai tanda penghargaan atas penyertaan mereka.
“Kita mahu setiap pemain mendapat sesuatu daripada penyertaan mereka. Walaupun tidak memenangi pertandingan, mereka tetap dihargai kerana berani mengambil peluang untuk bertanding,” katanya.
Beliau berkata, penganjuran kejohanan tersebut turut mendapat sokongan daripada Persatuan Sukan Sarawak (SRAS), Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) dan Majlis Sukan Negeri (MSN).
Katanya, kejohanan itu turut disokong penaja utama termasuk Chong Kia Hoi Realty Sdn Bhd, Shawna Integrated Sdn Bhd dan Sepadu Management Sdn Bhd.
Mengulas mengenai aspirasi melahirkan pemain bertaraf dunia, Shaukat berkata Sarawak memerlukan lebih ramai pemain yang mampu mengikut jejak pemain kelahiran Kuching, Azlan Iskandar serta legenda skuasy negara, Nicol David.
“Kita mahu melahirkan lebih ramai pemain seperti Azlan Iskandar. Tidak kira lelaki atau perempuan, kita mahu melihat munculnya seorang lagi pemain dari Sarawak yang mampu pergi jauh,” katanya.
Beliau berkata, melalui kejohanan seperti itu, pihaknya berharap dapat mengenal pasti lebih ramai bakat baharu yang berpotensi mewakili Sarawak dan Malaysia pada masa hadapan.
Oleh Adele Rissa





