Glasgow 2026: Tiada wakil negara punca Azizulhasni tawar diri kayuh 1,000m ujian masa

Facebook
WhatsApp
AZIZULHASNI Awang beraksi menentang pelumba Australia, Hoffman Leigh, pada saingan separuh akhir pecut lelaki Sukan Komanwel Glasgow 2026 di Velodrom Sir Chris Hoy, semalam. Foto Bernama

GLASGOW: Jaguh berbasikal trek negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang menutup tirai penampilannya pada Sukan Komanwel Glasgow 2026 dengan menduduki tempat ke-10 dalam acara 1,000 meter (m) ujian masa lelaki di Velodrom Sir Chris Hoy di sini hari ini.

Pada saingan itu, Mohd Azizulhasni mencatat masa satu minit 1.357 saat (s) manakala pelumba Australia Leigh Hoffman meraih pingat emas dengan catatan 58.530s, diikuti Joseph Truman dari England yang meraih perak (59.525s) dan seorang lagi wakil Australia Tayte Ryan memenangi gangsa (59.684s).

Pemenang pingat emas acara keirin lelaki Glasgow 2026 itu berkata perlumbaan hari ini bukan dalam perancangannya, namun beliau menawarkan diri untuk beraksi selepas mengetahui tiada wakil Malaysia didaftarkan bagi acara berkenaan.

“Sebelum datang sini, pasukan hanya daftar nama saya untuk acara keirin dan pecut, namun bila saya dapat tahu tiada wakil untuk acara 1,000m, sedangkan kebiasaannya Fadhil (Muhammad Fadhil Zonis) yang menyertainya, saya tanya sama ada pelumba lain mahu mengambil bahagian tapi tiada yang mahu.

“Mereka ada bertanya sama ada saya benar-benar pasti (ambil bahagian) kerana acara ini memang sangat mencabar tetapi saya bersetuju kerana ini mungkin Sukan Komanwel terakhir saya. Jadi, saya fikir lebih baik saya kayuh sahaja,” kata pelumba berusia 38 tahun itu ketika ditemui Bernama di sini. 

Mohd Azizulhasni berkata perlumbaan ujian masa 1,000m itu dianggap sebagai penutup penampilannya di pentas Sukan Komanwel.

“Selepas mencatat prestasi yang baik dalam acara keirin, perlumbaan ini lebih kepada perlumbaan terakhir saya di Sukan Komanwel. Catatan masa hari ini juga lebih kurang sama seperti yang saya lakukan pada Kejohanan Kebangsaan baru-baru ini.

“Saya gembira dengan pencapaian itu. Sudah tentu saya mahu mencatat masa lebih pantas tetapi keadaan badan memang sudah agak keletihan selepas beraksi dalam acara keirin dan pecut… bagi saya, ini satu pengakhiran yang amat cemerlang,” kata pelumba yang diberi julukan The Pocket Rocketman itu.

Mohd Azizulhasni sebelum ini menghadiahkan pingat emas ketujuh kontinjen negara selepas menjuarai acara keirin, sekali gus melengkapkan koleksi kejuaraannya dengan emas sulung di pentas Sukan Komanwel.

Dalam acara pecut pula, cabaran bekas juara dunia dan pemenang pingat perak Sukan Olimpik 2020 di Tokyo itu berakhir di suku akhir selepas tewas kepada Hoffman. – Bernama