KOTA SAMARAHAN: Pembinaan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Chung Hua Bako adalah bukti usaha keras Persatuan Lembaga Pengurusan Sekolah Rendah Bantuan Cina Bahagian Kuching, Samarahan dan Serian dalam usaha membangunkan sekolah seumpama ini ke arah era digital.
Presidennya, Jonathan Chai Voon Tok berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perasmian SJK Chung Hua Bako di sini, semalam.
“Terima kasih kepada Kerajaan Sarawak di bawah pimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg kerana telah menyalurkan RM3,000,000 khas untuk pembinaan sekolah ini.
“Dengan bantuan Dato Sri Sim Kui Hian, kami juga berjaya mendapatkan kelulusan bagi penempatan semula sekolah ini daripada Kementerian Pendidikan sebelum Pilihanraya Umum Mei 2018 yang lepas.
“Tidak lupa juga kepada semua pihak yang tampil memberikan sumbangan sehingga mencecah RM4,000,000 dalam membantu pembinaan sekolah ini, tanpa anda, sekolah ini tidak akan berdiri semegah ini hari ini,” katanya.
Menurutnya lagi, beliau yakin pembinaan sekolah ini adalah titik permulaan untuk sistem pendidikan khususnya di Sarawak beralih ke arah sistem yang lebih produktif mengikut peredaran waktu.
Terdahulu, Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg telah hadir bagi menyempurnakan Majlis Perasmian SJK Chung Hua Bako di Dewan Serbaguna SJK Chung Hua Bako di sini, semalam.
Turut hadir, Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Sarawak Dato Sri Micheal Manyin, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak Dato Sri Dr. Sim Kui Hian, Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Lee Kim Shin, Ahli Parlimen Kota Samarahan Rubiah Wang, Pengerusi Majlis Perbandaran Kota Samarahan Dato Peter Minos serta tetamu kehormat yang lain.
Oleh Akmal Adib Yusup