KUCHING: Seorang lelaki berusia 57 tahun cedera pada bahagian kaki selepas tersepit pada roda berantai sebuah jentera jengkaut di kawasan Jabatan Kerja Raya (JKR) Batu Lintang, berhadapan Kedai Kopi Joo Seng, pagi ini.
Komander Operasi, PBK I Kana Tawi berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 8.16 pagi sebelum pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Lintang tiba di lokasi tiga minit kemudian.
Menurutnya, pemeriksaan awal mendapati kaki mangsa tersepit pada roda berantai jentera berkenaan.
“Pasukan Keluaran Operasi (PKO) melaksanakan operasi menyelamat dengan bantuan sebuah kren dan sebuah jentera jengkaut bagi mengalihkan serta mengeluarkan mangsa ke tempat selamat.
“Mangsa berjaya dikeluarkan sebelum diserahkan kepada pasukan Emergency Medical Rescue Services (EMRS) untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut,” katanya.
Operasi terkawal pada 8.32 pagi dan tamat sepenuhnya pada 8.42 pagi.
Pasukan bomba turut menjalankan pemantauan di sekitar kawasan kejadian serta memberikan taklimat keselamatan kepada pekerja dan penyelia tapak berhubung prosedur kerja selamat, khususnya sebelum kerja-kerja merobohkan bangunan dilaksanakan bagi mengelakkan kejadian sama berulang.
Operasi disertai 10 anggota BBP Batu Lintang dengan kekuatan sebuah jentera Fire and Rescue Tender (FRT) dan sebuah EMRS.
Oleh Afiq Sallehi




