
KUALA LUMPUR: Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj berkenan mencemar duli meninjau pameran serta aktiviti yang berlangsung di reruai Pustaka Negeri Sarawak sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026, hari ini.
Kunjungan itu merupakan satu penghormatan dan penghargaan yang amat bermakna dalam usaha memartabatkan warisan budaya serta memperkenalkan khazanah ilmu dan kesusasteraan Sarawak kepada masyarakat umum.
Dalam kunjungan tersebut, Tengku Ampuan Pahang turut berkenan menyaksikan persembahan Sape dan Tarian Orang Ulu yang dipersembahkan oleh Anderson Kalang bersama kumpulan MupunTauh Orang Ulu Ladies.

Anderson Kalang, yang juga dikenali sebagai ‘Sape’ Shredder’ serta merupakan pengasas bersama Kuala Lumpur Sape’ Collective dan kumpulan MupunTauh berasal daripada masyarakat Kelabit serta merupakan pemain Sape, penari budaya dan penggiat seni yang aktif mempromosikan warisan budaya Borneo di peringkat nasional dan antarabangsa.
Persembahan tersebut menampilkan keunikan seni muzik tradisional Sape yang digabungkan dengan tarian tradisional masyarakat Orang Ulu, sekali gus memperkenalkan kekayaan warisan budaya Sarawak kepada pengunjung PBAKL 2026.
PBAKL 2026 berlangsung dari 29 Mei hingga 7 Jun 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), dengan Reruai Pustaka Negeri Sarawak terus menjadi platform untuk mempromosikan penerbitan, budaya dan warisan negeri kepada pengunjung dari seluruh negara.
-UKAS