KUCHING: Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Kerja Sosioekonomi Di Bawah Majlis Khas Mengenai Perjanjian Malaysia 1963 yang di adakan secara atas talian di Wisma Bapa Malaysia, semalam.
Mesyuarat yang diadakan untuk kali ketiga tersebut membincangkan isu-isu khusus berkaitan telekomunikasi.
Datuk Amar Awang Tengah pada mesyuarat tersebut mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Pusat dibawah pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang telah memberi jaminan bahawa isu isu berkaitan MA63 akan dibincangkan secara adil pada lawatan Perdana Menteri ke Kuching baru-baru ini.
“Kita juga telah memulakan usaha ke arah ekonomi digital sejak 2017 dengan menyedari kepentingan data dan innovasi yang akan menjadi pemacu perkembangan teknologi.
“Dengan pandemik Covid -19, telekomunikasi sudah menjadi satu kemestian dan adalah wajar isu berkaitan dibincang dan diselesaikan,” tambah beliau.
Mesyuarat tersebut dipengerusikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Sri Mustapha Mohamed dan turut dihadiri beberapa Menteri Persekutuan seperti Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dato’ Seri Mohamad Azmin Ali dan Menteri Kanan Kerja Raya, Dato Sri Fadillah Yusof.
Oleh NUR AIN OTSMAN