KUALA LUMPUR: Perniagaan Malaysia menyatakan bahawa teknologi dan inovasi memainkan peranan penting dalam dunia yang berubah dan mencabar ini untuk kekal berdaya tahan.
Ketua Perbankan Komersial HSBC Malaysia, Andrew Sill berkata, melabur dalam teknologi dan inovasi merupakan langkah penting yang ingin diambil oleh perniagaan Malaysia dalam tempoh lima tahun akan datang dan menjadi antara keutamaan mereka untuk pembangunan.
“Perniagaan Malaysia melihat teknologi sebagai pengupaya utama untuk kejayaan pada masa depan. Sejak enam bulan lepas, perniagaan Malaysia menyedari kelebihan teknologi dalam keupayaan mereka untuk melakukan inovasi berbanding syarikat di seluruh dunia.
“Keupayaan mereka untuk aktif, dan berinteraksi dengan pelanggan dan tenaga kerja mereka, telah membezakan mereka daripada pasaran lain,” katanya pada webinar mengenai dapatan utama daripada laporan baharu HSBC, ‘Navigator: Building Back Better’ semalam.
Kaji selidik itu mengukur nadi perniagaan berikutan mereka menyesuaikan dengan cabaran semasa dan menekankan langkah yang telah diambil untuk berdaya tahan pada masa depan. Laporan itu mengkaji 2,604 syarikat dalam 14 pasaran di peringkat global termasuk 200 syarikat dari Malaysia.
Sill berkata, kaji selidik itu menunjukkan hampir separuh (47 peratus) daripada perniagaan Malaysia bersetuju dan hampir semua (95 peratus) daripada mereka bersetuju bahawa tempoh sukar menunjukkan bagaimana perniagaan dapat memanfaatkan teknologi untuk meningkatkan atau menambah baik cara mereka beroperasi.
Beliau berkata, sejajar dengan semua pasaran lain, perniagaan Malaysia berpendapat bahawa daya tahan dibina atas empat faktor utama – pelanggan, pekerja, aktif dan lembaran imbangan yang kukuh — menunjukkan ia tidak terhad kepada lembaran imbangan perniagaan sahaja tetapi kepada perkara yang menyumbang kepada lembaran imbangan yang kukuh.
Beliau berkata, kaji selidik itu mendapati sejak dua tahun lepas, perniagaan Malaysia telah mengambil tiga langkah utama untuk membina daya tahan, dan ini mencerminkan pandangan mereka mengenai ciri-ciri perniagaan yang berdaya tahan.
“Pelaburan dalam teknologi dan inovasi menjadi tumpuan utama dalam perniagaan Malaysia (69 peratus) diikuti mempelbagaikan perniagaan mereka (55 peratus) dan mengukuhkan kedudukan kewangan mereka (54 peratus).
“Dengan melabur dalam teknologi dan inovasi baharu, perniagaan Malaysia dapat memastikan bahawa mereka bersedia untuk masa depan selain menyumbang kepada prospek dan pertumbuhan ekonomi yang positif,” katanya.
Selain itu, katanya, dua perubahan utama terhadap perniagaan Malaysia yang dikaji ialah perancangan untuk rantaian bekalan mereka dalam tempoh satu hingga dua tahun akan datang sama seperti yang dirancang dalam semua pasaran – untuk meningkatkan keselamatan rantaian bekalan mereka diikuti meningkatkan ketelusan dalam rantaian bekalan.
“Perubahan utama lain ialah membentuk semula rantaian bekalan termasuk mempelbagaikan rantaian bekalan untuk bekerjasama dengan lebih banyak pembekal, mewujudkan rantaian bekalan yang lebih dapat dikesan dan meningkatkan ketelusan dalam cara pembekal mereka beroperasi dan siapa rantaian bekalan mereka,” katanya.- Bernama