KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia berkemungkinan menyaksikan aktiviti pembelian saham pada harga rendah terpilih minggu depan susulan jualan besar-besaran baru-baru ini, khususnya dalam kaunter mewah berasas kukuh yang mengalami penurunan harga, dalam persekitaran pasaran yang cenderung mengelak risiko, kata seorang penganalisis.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata perkembangan luaran dijangka kekal menjadi pemacu utama sentimen, dengan pergerakan harga minyak mentah dan hasil bon Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) menjadi tumpuan.
“Kami menjangkakan FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) bergerak secara mendatar pada paras semasa dengan ruang untuk pemulihan teknikal sekiranya sentimen risiko global kembali stabil.
“Indeks penanda aras itu juga dijangka bergerak dalam julat 1,680 hingga 1,710 minggu depan,” katanya kepada Bernama.
Sementara itu, Ketua Penyelidikan Berjaya Research Sdn Bhd Kenneth Leong turut menjangkakan indeks penanda aras itu kekal di bawah tekanan susulan ketidaktentuan geopolitik yang berterusan serta kebimbangan yang semakin meningkat terhadap inflasi global dan kadar faedah.
Beliau berkata pelabur akan memantau dengan teliti keputusan kadar faedah Rizab Persekutuan AS minggu depan, dengan pasaran menjangkakan kenaikan 25 mata asas berikutan harga minyak yang tinggi dan tekanan inflasi yang kembali meningkat.
“Kenaikan kadar itu akan menjadi peningkatan pertama sejak Julai 2023, yang seterusnya boleh menjejaskan selera risiko global serta ekuiti pasaran sedang pesat membangun.
“Dari sudut teknikal, pasaran saham tempatan berada di bawah tekanan jualan dan susut di bawah paras psikologi 1,700 mata,” katanya.
Sehubungan itu, Leong berkata paras sokongan seterusnya kini berada pada 1,680 mata dan 1,676 mata, manakala paras rintangan terdekat masing-masing pada 1,714 mata dan 1,722 mata.
Bagi asas perbandingan Jumaat ke Jumaat, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 21.36 mata kepada 1,686.74 pada penutupan semalam berbanding 1,708.10 seminggu sebelumnya.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas merosot 115.25 mata kepada 12,510.20, Indeks FBM Top 100 turun 123.62 mata kepada 12,305.64, namun Indeks FBM Emas Syariah meningkat 36.11 mata kepada 12,396.81 dan Indeks FBM ACE menokok 42.76 mata kepada 5,260.23.
Bagaimanapun, Indeks FBM Mid 70 menyusut 40.56 mata kepada 17,728.64.
Mengikut sektor, Indeks Tenaga meningkat 8.81 mata kepada 814.43, manakala Indeks Perladangan menokok 98.10 mata kepada 9,436.02. Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian pula naik 1.82 mata kepada 188.78, manakala Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 539.28 mata kepada 19,622.21.
Jumlah dagangan mingguan meningkat kepada 18.97 bilion unit bernilai RM15.53 bilion daripada 17.97 bilion unit bernilai RM14.14 bilion pada minggu sebelumnya.
Bagaimanapun, jumlah dagangan Pasaran Utama susut kepada 11.62 bilion unit bernilai RM13.89 bilion berbanding 12.00 bilion unit bernilai RM12.85 bilion sebelumnya.
Sementara itu, jumlah dagangan waran meningkat kepada 4.40 bilion unit bernilai RM624.83 juta berbanding 3.83 bilion unit bernilai RM542.71 juta pada minggu lepas.
Selain itu, jumlah dagangan Pasaran ACE meningkat kepada 2.93 bilion unit bernilai RM1.00 bilion berbanding 2.13 bilion unit bernilai RM743.53 juta pada minggu sebelumnya.- Bernama




