Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • KOLUMNIS
  • Teka-teki tarikh PRU16 dan PRN Sarawak, Johor, Melaka, N9
  • KOLUMNIS

Teka-teki tarikh PRU16 dan PRN Sarawak, Johor, Melaka, N9

Utusan Sarawak 3 hours ago

TEMPOH Parlimen ke-15 yang sidang pertamanya pada 19 Disember 2022, akan terbubar secara automatik pada 19 Disember 2027, dengan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran iaitu pada 17 Februari 2028.

Maknanya, masa masih lama. Tetapi sejak kebelakangan ini, tersebar ura-ura kemungkinan PRU16 diadakan lebih awal, dalam tahun ini juga.

Kemudian pilihan raya negeri (PRN) turut terarah ke beberapa negeri, terutama di Melaka dan Johor.

Pembubaran automatik Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka pada 27 Disember ini dan Johor pada 21 April tahun depan, berdasarkan persidangan penggal pertama DUN selepas pilihan raya terdahulu, masing-masing pada 27 Disember 2021 bagi Melaka dan 21 April 2022 bagi Johor, selaras dengan tempoh maksimum lima tahun sesuatu DUN.

Enam negeri iaitu Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Selangor mengadakan pilihan raya negeri (PRN) pada 12 Ogos 2023, jangkaan DUN terbubar secara automatik adalah sekitar Ogos/September 2028, manakala Pahang, Perak dan Perlis pada Disember 2027/Januari 2028.

PRN Sabah baru diadakan pada November tahun lalu.

Pada 18 Disember 2026 ini pula, genap lima tahun DUN Sarawak ke-12 tetapi tempoh kerajaan negeri pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) sekarang akan berakhir pada 14 Februari 2027, berdasarkan kiraan mulai sidang DUN pertama selepas PRN ke-12 lalu yang diadakan pada 14 Februari 2022.

Ini bermakna, PRN boleh diadakan bila-bila masa antara sekarang hingga Februari 2027. Namun, sudah tersebar ura-ura kemungkinan Sarawak mengadakan pilihan raya Disember ini, sama seperti PRN lalu diadakan pada musim tengkujuh Disember 2021.

Maka fokus untuk PRU16 dan PRN di Johor, Melaka dan Sarawak lebih cenderung untuk diadakan dalam tahun ini. Malah tidak mustahil DUN Negeri Sembilan turut dibubar lebih awal, berikutan kemelut adat di negeri Adat Perpatih itu.

Di Seremban semalam, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun tidak menolak kemungkinan PRN negeri itu akan diadakan tahun ini.  Malah beliau juga tidak menolak kemungkinan PRN Negeri Sembilan akan disekalikan dengan Johor dan Melaka.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dilaporkan bersedia menghadapi sebarang kemungkinan pembubaran DUN membabitkan Melaka, Johor dan Negeri Sembilan dalam tempoh terdekat.

Sebagai persediaann awal, Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun dipetik oleh sebuah media nasional semalam sebagai berkata pihaknya melaksanakan pelbagai tindakan proaktif bagi memenuhi keperluan operasi untuk menghadapi PRN selain PRU16.

Sementara itu, ramai pula percaya PRU16, mungkin diadakan lebih awal susulan situasi politik semasa di Semenanjung.

Pilihan raya serentak?

Ketua Penerangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah tidak menolak kemungkinan PRU16 diadakan lebih awal, malah berpandangan lebih baik ia diadakan serentak termasuk di Sarawak dan beberapa negeri lain bagi menjimatkan kos.

Tetapi bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dalam satu siaran podcast BFM89.9 – Bold Point Media baru-baru ini menolak kemungkinan PRU16 diadakan tahun ini.

Beliau percaya ia diadakan tahun depan berdasarkan ‘perang’ UMNO/BN dan Pakatan Harapan (PH) di Johor berikutan keputusan UMNO/BN mahu bertanding semua kerusi di negeri itu.

Menurut Khairy atau KJ, sudah pasti PH dan Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu melihat dahulu apa keputusan PRN Johor setelah UMNO/BN bertindak untuk bertanding secara solo, sebelum Perdana Menteri membubarkan Parlimen dan dengan itu katanya, PRU16 dijangka tahun depan.

ANWAR Ibrahim dan isteri ketika hadir pada Konvensyen PH 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, Johor Ahad lepas.

Namun, sejak beberapa minggu lalu, ura-ura PRU16 berlegar mungkin diadakan sekitar Julai ini.

Ini ditambah pula kenyataan Anwar Ibrahim ketika menyampaikan amanat pada kemuncak Konvensyen Pakatan Harapan (PH) 2026 di Johor Ahad lalu.

Perdana Menteri membayangkan kemungkinan membubarkan Parlimen untuk PRU16 lebih awal jika rakan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan terus bertindak menggugat kestabilan politik di negara ini.

Ini susulan keputusan UMNO/BN untuk bertanding di semua kerusi di Johor. Berikutan itu, PH menyusul dengan tindakan sama untuk bertanding semua kerusi di Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan beberapa negeri lain.

Apakah bayangan itu cuma ‘gertak halus’ Anwar kepada rakan parti gabungan dalam kerajaan ketika pada masa sama untuk ‘melemaskan awal’ kemunculan Parti Bersama Malaysia (Bersama) yang disertai Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad?

Jika PRU16 awal, mungkin ini satu strategi perangkap kerana parti Bersama meskipun sudah wujud sejak 2016, masih kurang jentera bawahan, bilik gerakan, dana, sukarelawan, calon sesuai, pekerja akar umbi dan setakat ini bergantung kepada personaliti Rafizi dan Nik Nazmi.

Pergeseran dalam Kerajaan Perpaduan

Apa yang tercetus di Johor menunjukkan berlaku pergeseran dalam Kerajaan Perpaduan yang dibentuk melalui kerjasama pelbagai parti politik disokong oleh lima gabungan utama dan beberapa parti sokongan selepas PRU15.

Gabungan utama ini termasuk Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) selain parti dari Sabah dan Sarawak.

RAKYAT pelbagai kaum di negeri ini.

PH merangkumi Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP, Parti Amanah Negara (AMANAH) dan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO).

BN pula merangkumi UMNO, MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).

Semalam, Perdana Menteri dilaporkan menzahirkan penghargaan kepada parti-parti gabungan dalam Kerajaan MADANI atas komitmen mereka untuk terus kekal bersama sehingga berakhir penggal pentadbiran kerajaan.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil dipetik Bernama sebagai berkata penghargaan itu dizahirkan Anwar Ibrahim semasa mesyuarat Jemaah Menteri semalam khususnya kepada BN, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Apakah ini satu petanda PRU16 tidak diadakan tahun ini tetapi tahun depan, kerana tiada lagi ancaman kepada Kerajaan MADANI?

Selain masalah politik di Semenanjung, keadaan geopolitik di Asia Barat juga perlu diambil kira kerana kesannya sudah dirasai rakyat berikutan kenaikan harga minyak selain kos sara hidup.

Bayangkan harga tiket penerbangan sekarang melambung. Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAG Kapten Nasaruddin A. Bakar dilaporkan berkata harga bahan api pesawat berada pada kira-kira AS$100 setong sebelum ketegangan geopolitik mendorong harga setinggi AS$240 setong, menunjukkan syarikat penerbangan di seluruh dunia menghadapi ketidaktentuan yang berterusan.

Tetapi bagi Sarawak untuk mengadakan pilihan raya tahun ini tiada masalah dengan kekuatan tersendiri GPS merangkumi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Demokratik Progresif (PDP), dan Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP).

PBB selaku parti tulang belakang GPS, akan mengadakan konvensyen melibatkan empat zon di seluruh negeri bermula Julai hingga September bagi memperkukuh parti dan mendekati akar umbi.

Bayangan daripada Abang Jo

PREMIER Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg sudah memberi bayangan ‘pilihan raya semakin dekat’ ketika berucap pada majlis GPS Backbenchers Night di sebuah hotel di Kuching malam tadi. Foto UKAS

Keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Majlis Tertinggi PBB yang dipengerusikan Presidennya, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada 9 Mei lepas.

Setiausaha Agung PBB, Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, konvensyen antara lain bertujuan menghimpunkan ahli parti di peringkat akar umbi bagi memperkukuh parti serta membuat persediaan menghadapi sebarang kemungkinan termasuk Pilihan Raya Negeri kali ke-13.

Itu satu petanda PRN sudah dekat. Satu lagi petanda ialah program Sarawakku Sayang (SKS) 2026, inisiatif kebajikan oleh kerajaan Sarawak yang mula diperkenalkan sekitar 2020 ketika pandemik Covid-19, sudah mula digerakkan ke seluruh negeri.

Jelajah ini bermula di Limbang pada 10 hingga 12 April lalu, yang dilancarkan oleh Premier Sarawak.

Program ini dilaksanakan di semua 12 bahagian dan berakhir di Kuching pada 20 hingga 22 November di Metrocity, Matang.

Walaupun program ini secara rasminya adalah langkah kebajikan dan pemulihan ekonomi, bukan agenda politik, ada pihak mengaitkannya dengan PRN akan datang.

Program ini sama seperti keadaan PRN lalu dan sebaik program berakhir, DUN Sarawak dibubarkan pada 3 November 2021, penamaan calon 6 Disember dan pengundian 18 Disember 2021.

Abang Johari ketika berucap pada majlis GPS Backbenchers Night di sebuah hotel di Kuching malam tadi memberi bayangan bahawa PRN Sarawak kini semakin dekat.

Tanpa memberi bayangan bila tarikh sebenar, Premier Sarawak menegaskan tempoh untuk melaksanakan PRN masih berbaki sehingga Februari tahun hadapan.

“Saya pun tidak tahu bila pilihan raya namun yang saya tahu tempoh kita (kerajaan) sehingga bulan dua, tapi dekat nak ada sebenarnya, dekat nak ada tapi saya belum tahu bila ‘beduk berbunyi’,” katanya.

Apapun sama-sama kita tunggu dan lihat perkembangan seterusnya.

  • Penulis adalah Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak
Tags: Kadir Dikoh

Continue Reading

Previous: Bersama dan ujian baharu politik reformasi negara

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.