Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • KOLUMNIS
  • Kesiapsiagaan manusia penting dalam industri penerbangan, galas amanah ratusan nyawa
  • KOLUMNIS

Kesiapsiagaan manusia penting dalam industri penerbangan, galas amanah ratusan nyawa

Utusan Sarawak 5 hours ago

SETIAP kali menaiki pesawat, apa yang diharapkan oleh penumpang ialah ketepatan masa untuk berlepas disusuli dengan sapaan mesra kru kabin dan penerbangan yang lancar.

Namun, jarang sekali disedari bahawa seluruh harapan ini sebenarnya direalisasikan oleh sekumpulan manusia yang bertungkus lumus bekerja di sebalik tabir.

Ketika penumpang berehat dengan tenang di dalam kabin, juruterbang di kokpit perlu mengekalkan tumpuan yang tinggi sepanjang penerbangan. Pada masa sama, kru kabin pula terus bergerak menyantuni penumpang tanpa henti.

Di darat pula, jurutera penyelenggaraan di hangar perlu memeriksa setiap komponen pesawat dengan teliti, manakala pengawal trafik udara di menara kawalan harus memantau puluhan pergerakan ruang udara serentak tanpa sebarang ruang untuk melakukan kesilapan.

Semua tanggungjawab ini akhirnya mewujudkan satu ancaman yang sering tidak disedari iaitu kelesuan. Kelesuan bukan sekadar rasa mengantuk biasa selepas syif kerja yang panjang.

Ia merupakan fasa keletihan fizikal dan mental yang kritikal, sehinggakan mampu memperlahankan masa tindak balas, menjejaskan fokus serta melemahkan keupayaan seseorang untuk membuat keputusan dengan tepat.

Walaupun teknologi moden seperti sistem automasi canggih, radar pintar dan bantuan navigasi terkini telah meningkatkan keselamatan ruang udara dengan ketara, semua sistem ini tetap bergantung kepada manusia yang mempunyai batas fizikal dan mental.

Apabila operasi penerbangan global menjadi semakin padat dan kompleks, tekanan terhadap tenaga kerja yang mengendalikannya turut meningkat dengan mendadak.

Oleh itu, kajian berkaitan “faktor manusia” (human factors) kini diangkat sebagai aspek paling kritikal dalam keselamatan penerbangan moden memandangkan banyak siasatan kemalangan udara membuktikan bahawa kelesuan dan tekanan mental sering menjadi punca tersembunyi di sebalik ralat operasi.

Kelesuan boleh berpunca daripada pelbagai faktor, antaranya tempoh tugas yang melangkaui had optimum, jadual kerja tidak menentu, beban operasi yang padat serta tekanan emosi luaran seperti masalah keluarga atau kewangan.

Bagi kru penerbangan jarak jauh, cabaran ini menjadi berlipat kali ganda disebabkan gangguan ritma sirkadian atau “jam dalaman” tubuh yang mengawal waktu tidur dan kecergasan alami manusia.

Apabila seseorang terpaksa merentasi beberapa zon waktu dalam tempoh singkat, fenomena gangguan ritma tubuh atau jet lag pasti berlaku.

Walaupun pesawat moden kini dilengkapi dengan ruang rehat khas bagi kru bertugas, tubuh manusia tetap memerlukan masa yang munasabah untuk menyesuaikan diri dengan perubahan biologi tersebut.

Akibatnya, seseorang pekerja mungkin kelihatan normal pada luaran, namun fungsi kognitif otak mereka sebenarnya sudah mula merosot akibat kehilangan fokus.

Kesan penurunan fungsi kognitif ini sangat membimbangkan kerana ia boleh membawa kepada ralat manusia yang fatal. Sebagai contoh, juruterbang yang terlalu letih berkemungkinan besar lambat bertindak balas terhadap perubahan cuaca mengejut atau isyarat amaran sistem pesawat.

Risiko yang sama turut dihadapi oleh pengawal trafik udara yang terdedah kepada kesilapan memberikan arahan altitud atau laluan ketika mengendalikan pesawat di ruang udara yang luas.

Situasi kritikal ini juga sering melanda jurutera penyelenggaraan pesawat yang bekerja pada syif malam di hangar. Dalam suasana persekitaran yang panas, bising dan dikurung oleh tekanan masa untuk memastikan pesawat bersedia sebelum penerbangan awal pagi, mata yang mengantuk dan tubuh yang lesu meningkatkan kebarangkalian untuk mereka terlepas pandang ralat atau kerosakan kecil pada struktur mekanikal pesawat.

Antara insiden yang sering dikaitkan dengan faktor kelesuan ialah tragedi Colgan Air Flight 3407 di Amerika Syarikat pada 2009. Siasatan mendapati kedua-dua juruterbang mengalami tahap keletihan yang serius selepas tempoh rehat yang tidak mencukupi sebelum penerbangan.

Ketika pesawat menghadapi keadaan hampir hilang daya angkat semasa menghampiri lapangan terbang, tindak balas kru menjadi tidak tepat lalu menyebabkan pesawat terhempas dan mengorbankan 50 nyawa.

Ancaman kelesuan ini tidak hanya terhad di dalam kokpit, malah turut melibatkan sektor kritikal di menara kawalan menerusi insiden di Lapangan Terbang Antarabangsa Washington Reagan pada 2011.

Dalam kejadian tersebut, seorang pengawal trafik udara yang bertugas secara bersendirian pada syif malam telah tertidur akibat kelesuan melampau, menyebabkan dua pesawat komersial yang membawa keseluruhan 165 penumpang terputus komunikasi radio dan terpaksa mendarat tanpa sebarang panduan.

Senario berbahaya ini membuktikan bahawa aturan jadual kerja yang padat serta ketiadaan sistem sokongan rakan sekerja pada waktu malam boleh melumpuhkan kewaspadaan pengawal trafik udara, sekali gus mendedahkan ruang udara kepada risiko perlanggaran yang dahsyat.

Risiko ralat kognitif akibat keletihan ini turut mengakibatkan tragedi Aloha Airlines Flight 243 pada 1988 yang berpunca daripada kecuaian tidak sengaja pasukan jurutera penyelenggaraan pesawat.

Siasatan mendedahkan bahawa jurutera yang ditugaskan melakukan pemeriksaan struktur pada syif malam berada dalam keadaan kelesuan kronik, menyebabkan ketelitian visual mereka merosot drastik sehingga terlepas pandang ratusan rekahan halus pada badan pesawat sebelum ia dibenarkan terbang.

Kegagalan mengesan kerosakan mekanikal tersebut akibat kelesuan fizikal dan mental akhirnya mengakibatkan sebahagian bumbung pesawat tercabut di udara, sekali gus menjadi amaran keras kepada industri bahawa kelesuan dalam sektor kejuruteraan adalah sama ancamannya dengan kelesuan di awan biru.

Lebih memburukkan keadaan, wujud sebahagian budaya kerja lapuk yang menganggap keletihan kronik sebagai satu norma, malah ada segelintir pekerja yang berbangga kerana mampu bertahan bekerja tanpa tidur yang cukup.

Tidak sekadar itu, ada juga yang memilih untuk merahsiakan keadaan diri kerana bimbang akan dilabel sebagai tidak komited terhadap tugas oleh pihak pengurusan.

Hakikatnya, dalam industri yang berpaksikan keselamatan tegar ini, keberanian untuk mengaku letih merupakan satu tindakan yang sangat profesional.

Atas dasar itu, Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) menggalakkan pelaksanaan Sistem Pengurusan Risiko Kelesuan (FRMS) yang menggunakan pendekatan saintifik dan analisis data untuk merancang jadual kerja berdasarkan tempoh berjaga, pola tidur dan beban kerja pekerja.

Pendekatan dinamik ini jauh lebih efektif berbanding sekadar menetapkan had maksimum waktu bekerja standard, memandangkan tahap ketahanan biologi setiap individu adalah berbeza.

Bagi menyokong ekosistem yang selamat ini, penerapan budaya kerja yang sihat menerusi konsep “Just Culture” amat penting untuk diamalkan dalam sektor penerbangan moden.

Konsep ini memberi ruang dan jaminan kepada para pekerja untuk melaporkan isu keletihan atau ralat tanpa rasa takut akan dikenakan hukuman, sekali gus membolehkan langkah pencegahan diambil sebelum sebarang tragedi berlaku.

Malah, banyak syarikat penerbangan kini memperketat garis panduan waktu bertugas serta memantau tahap kelesuan kru secara mendalam melalui analisis data operasi dan laporan tidur peribadi.

Di samping itu, para penumpang juga perlu dididik untuk memahami bahawa kelewatan sesebuah penerbangan tidak semestinya berpunca daripada kelemahan pengurusan, sebaliknya ada kalanya ia merupakan keputusan sengaja untuk menangguhkan perjalanan demi memastikan kru bertugas tidak melepasi had masa bekerja and kekal fokus di udara.

Kita perlu menerima hakikat bahawa di sebalik kehebatan juruterbang mengendalikan pesawat gergasi merentasi lautan luas atau kecekapan jurutera memastikan kesempurnaan mekanikal pesawat, mereka tetap manusia biasa yang memerlukan rehat dan kestabilan emosi untuk berfungsi dengan baik.

Tragedi udara yang besar jarang sekali bermula dengan letupan dramatik atau kegagalan enjin yang mendadak, sebaliknya ia sering kali berputik daripada seorang manusia yang terlalu penat untuk mempertahankan pertimbangan yang tepat.

Kelesuan mungkin tidak kelihatan pada paparan skrin radar seperti ancaman ribut petir atau kerosakan mekanikal, namun apabila fokus mula hilang, benteng keselamatan penerbangan sebenarnya sedang retak sedikit demi sedikit.

Di langit yang luas, keselamatan yang hakiki tidak hanya bergantung pada kecanggihan teknologi pesawat, tetapi pada kesiapsiagaan manusia yang mendapat rehat secukupnya untuk menggalas amanah ratusan nyawa.

  • Penulis memiliki Sarjana Muda Kejuruteraan (Mekanikal-Aeronautik) dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan pernah berkhidmat di Hornbill Skyways Sdn Bhd.
Tags: Mohamad Fadillah Sabali

Continue Reading

Previous: Teka-teki tarikh PRU16 dan PRN Sarawak, Johor, Melaka, N9

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.