KUCHING: Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS), melalui TEGAS Digital Village (TDV) dan Digital Innovation Hub (TDIH), telah melancarkan Bootcamp Pra-Pemecut TEGAS (TPAB) untuk menyokong pertumbuhan syarikat permulaan dan perusahaan sosial di Sarawak.
TEGAS akan bekerjasama dengan rakan kongsi strategiknya, WatchTower & Friends, pemecut teknologi dan MYStartup, projek nasional yang dimulakan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan dibangunkan oleh Cradle Fund Sdn Bhd.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar merangkap Pengerusi TEGAS Datuk Len Talif Salleh berkata, program itu bertujuan membantu mempercepatkan pertumbuhan syarikat baharu tempatan dan perusahaan sosial peringkat awal.
Ini sebagai sebahagian daripada usaha untuk terus memacu inovasi digital dan keusahawanan di Sarawak, selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 2030 (PCDS 2030).
“Melangkah ke tahun kelima menjalankan Pra-Pemecut, kami percaya program itu boleh menjadi saluran hebat untuk usahawan muda di Sarawak untuk mengesahkan idea inovatif mereka sebelum ke pasaran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Program ini akan berlangsung dari 12 hinga 18 Jun di TDV, meliputi topik seperti pemula, pemodelan perniagaan, pemodelan kewangan, pembangunan produk, pergi ke pasaran, pengumpulan dana dan pitching.
Peserta yang dipilih untuk program ini akan menikmati bimbingan daripada pakar industri dan usahawan berpengalaman.
Selain akses kepada peluang pelaburan peringkat awal, lorong hijau untuk menyertai program pemecut TEGAS dan Shell LiveWIRE Malaysia, sokongan pemerbadanan syarikat, akses kerja bersama secara percuma selama tiga bulan kepada TDV dan TDIH (BTU , MYY) turut disediakan.
Pada masa sama, akses kepada sokongan dan faedah permulaan melalui MYStartup dan akses kepada rakan kongsi dan program ekosistem TEGAS.
Antara mentor untuk program itu ialah Sam Shafiee dan Kashminder Singh bersama beberapa yang lain.
Untuk memohon program, layari bit.ly/TPAB5.