Tebingan Pantai Punang dikaji semula, reka bentuk baharu lebih tahan ombak

Facebook
WhatsApp
WANITA HEBAT...Awang Tengah dan isteri merakam gambar bersama pasukan pekayuh wanita Kampung Punang.

LAWAS, 9 Oktober: Projek pembinaan Tebingan Pantai Punang kini dalam proses kajian menyeluruh sebelum pelaksanaannya diteruskan dengan reka bentuk baharu yang lebih sesuai bagi menghadapi hakisan pantai dan hentaman ombak.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, projek berkenaan mengalami kelewatan berikutan pertukaran agensi pelaksana daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) kepada Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA).

Selain itu, kerja-kerja tanah yang dilaksanakan JKR sebelum ini mengalami kerosakan akibat hakisan pantai dan hentaman ombak.

TURUN PADANG…Awang Tengah meninjau ke kawasan tanah perkuburan Islam Kampung Punang.

Justeru, RECODA selaku agensi pelaksana baharu perlu menjalankan kajian menyeluruh sebelum reka bentuk dan pelaksanaan projek diteruskan.

“Projek tebingan pantai Punang ini memang mengalami kelewatan. Pada mulanya, projek ini dilaksanakan oleh JKR sebelum diserahkan kepada RECODA.

“Kerja-kerja membina benteng sudah dilakukan, tetapi sebelum diserahkan kepada RECODA, benteng itu didapati mempunyai kecacatan. Jadi, kita perlu mereka bentuk semula dan menjalankan kajian semula,” katanya ketika mengadakan lawatan kerja ke Kampung Punang, petang semalam.

Awang Tengah berkata, kajian menyeluruh itu merangkumi aspek pergerakan arus, ombak dan keadaan pantai di kawasan Kampung Punang bagi memastikan reka bentuk baharu lebih sesuai dengan keadaan setempat.

Bagaimanapun, usaha menjadikan Pantai Punang sebagai lokasi riadah keluarga dan tarikan pelawat dari luar tetap diteruskan menerusi Majlis Daerah Lawas.

Pembinaan Punang Nature Walk oleh majlis daerah itu turut menyediakan kemudahan bangunan terbuka yang dilengkapi gerai jualan serta beberapa kemudahan lain.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Sari itu berkata, pelbagai perancangan turut disusun bagi menyerlahkan potensi Pantai Punang sebagai antara destinasi menarik di Lawas.

Dalam lawatan sama, Awang Tengah turut meninjau tanah perkuburan Kampung Punang bagi melihat kerja-kerja menaik taraf kawasan berkenaan serta rumah menyalai ikan tahai yang dilaksanakan oleh Majlis Amanah Rakyat (MARA).

Sepanjang lawatan kerja itu, beliau turut beramah mesra dengan penduduk kampung dan mendengar sendiri pelbagai masalah yang dihadapi mereka.

Oleh Adeng Edrus