SIBU, 22 November: Sepasang suami isteri terselamat daripada detik cemas selepas kereta dinaiki mereka terperangkap dalam banjir dengan paras air melebihi satu kaki di Jalan Stabau, berhampiran Jalan Kong Yit Khim Salim, di sini, pagi tadi.
Kedua-dua mangsa berjaya diselamatkan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) tanpa mengalami sebarang kecederaan.
Ketua JBPM Zon 4 Sibu, Andy Alie berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 7.55 pagi.

Menurutnya, sepasukan lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sibu Jaya digerakkan ke lokasi dan tiba pada 8.14 pagi.
“Hasil pemeriksaan mendapati dua mangsa terperangkap di dalam sebuah kereta di kawasan banjir dengan paras air melebihi satu kaki.
“Keadaan itu hanya membenarkan laluan bagi kenderaan pacuan empat roda,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata, selepas melakukan penilaian keadaan di lokasi, komander operasi mengarahkan anggota memakai peralatan perlindungan diri (PPE) lengkap sebelum menjalankan operasi menyelamat.
Kedua-dua mangsa kemudian berjaya dikeluarkan dari kenderaan berkenaan dan dibawa ke kawasan selamat.
Operasi menyelamat bermula pada jam 8.15 pagi dan ditamatkan sepenuhnya pada 8.36 pagi.
Operasi diketuai PBK I Jinny Lenggie dengan bantuan empat anggota lain menggunakan sebuah kenderaan utiliti Mitsubishi.
Oleh Akun Giman




