DEBAK: Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Mohamad Razi Sitam berharap perayaan Tahun Baharu Cina (TBC) pada tahun ini akan membawa lebih banyak kejayaan khususnya untuk masyarakat di Daerah Kecil Debak.
Beliau berkata sambutan TBC tahun ini membawa harapan baharu, yang mana kita dapat meraih kejayaan yang lebih besar dan memberi manfaat kepada semua rakyat di daerah kecil Debak.
“Menyentuh mengenai perkembangan pendidikan di Saribas, saya amat berbangga kerana bangunan baru Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Chung Hua Debak kini sedang dalam proses pembinaan.
“Tahniah saya ucapkan kepada barisan lembaga pengurusan SJKC Chung Hua di atas semangat mereka dalam usaha mendapatkan dana untuk menambah baik sekolah ini,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan majlis makan malam Tahun Baharu Cina 2025 di Riveria Sport Centre, Debak, di sini, semalam.
Razi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas juga menyentuh mengenai potensi ekonomi Daerah Debak yang semakin berkembang, yang mana pelbagai projek pembangunan telah dan bakal dilaksanakan di daerah itu.
“Debak adalah daerah yang memiliki banyak perumahan komersial berbanding daerah-daerah lain di Bahagian Betong.
“Menurut hasil kajian, Debak memiliki keunikan kerana lokasinya yang sangat strategik untuk kegiatan perniagaan. Oleh sebab itu, permintaan untuk kawasan ini adalah sangat tinggi,” jelas beliau.
Beliau juga menyatakan bahawa usaha kerajaan dalam merapatkan jarak perjalanan ke Daerah Debak telah berjaya dengan siapnya projek pembinaan jalan baharu dari Suri ke Kampung Tuie yang berjaya memendekkan perjalanan penduduk dari kawasan sekitar ke Debak.
“Selain itu, dari Lebuhraya Pan Borneo, hanya memerlukan lima kilometer (km) untuk memasuki Debak, menjadikannya lebih mudah bagi mereka yang menggunakan jalan tersebut untuk memasuki daerah ini,” katanya.
Razi juga memohon kerjasama dari semua pihak untuk bersama-sama membangunkan Daerah Debak demi kemakmuran bersama.
“Saya memohon agar kita semua terus bekerjasama untuk memastikan Daerah Debak ini terus berkembang maju dalam segala aspek, baik dari segi ekonomi mahupun sosial,” katanya lagi.
Pada majlis tersebut, Ahli Parlimen Betong, Dato Dr. Richard Rapu turut memberi sumbangan berjumlah RM10,000 kepada Lembaga Amanah Amal Debak, Persatuan Chung Hua Debak dan Lembaga Pengurusan SJK Chung Hua Debak sebagai sokongan kepada kegiatan sosial dan pendidikan di kawasan tersebut.
Oleh Adi Saparman