TATAU: Timbalan Menteri Digital, Datuk Wilson Ugak Kumbong mencadangkan pembinaan sebuah tebingan di kawasan Tatau memandangkan ia menjadi lokasi popular pertandingan bot laju.
Katanya, ribuan pengunjung yang hadir untuk menyaksikan pertandingan bot laju dan pembinaan tebingan serupa dengan yang terdapat di Song dan Kanowit adalah amat perlu.
Cadangan itu, katanya, bertujuan untuk memudahkan pengunjung menikmati acara seperti regata dan pesta pada masa hadapan.
“Saya melihat tebingan Batang Anap dipenuhi oleh ribuan pengunjung untuk menyaksikan pertandingan bot laju.
“Saya memohon terutamanya pihak Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) agar mempertimbangkan pembinaan ‘waterfront’ yang akan menjadi lambang kita di Tatau ini,” katanya ketika menyaksikan perlumbaan bot laju sempena Pesta Tatau 2024 di sini, baru-baru ini.
Selain itu, beliau turut mencadangkan pembangunan sebuah hotel tiga bintang di Pekan Tatau untuk memenuhi keperluan penginapan pelawat yang terpaksa mencari tempat tinggal di Bintulu.
Wilson juga menggalakkan masyarakat setempat untuk melibatkan diri dalam perniagaan rumah inap sebagai langkah tambahan.
“Ketiadaan hotel dan rumah inap menyebabkan ada yang terpaksa bermalam di Bintulu,” katanya.
Perlumbaan Bot Laju Pesta Tatau 2024 yang membabitkan sembilan kategori berjaya menarik 204 peserta dari seluruh Sarawak dan empat pasukan dari Brunei.
Sungai Batang Anap yang sepanjang tiga kilometer menyediakan medan perlumbaan yang sesuai dan mencabar untuk acara tersebut.
Penganjuran Pesta Tatau 2024 diiktiraf sebagai kejayaan besar, menunjukkan minat yang tinggi dalam sukan bot laju serta potensi acara ini untuk menjadi tarikan utama di masa depan.